Penganjuran F1 di Malaysia? SIC laksanakan penilaian kos-faedah
Berdasarkan maklumat daripada Formula 1 Management (FOM), penganjuran Formula 1 di Sepang baru-baru ini telah menjana impak ekonomi hampir RM950 juta kepada negara.


Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia yang dilaksanakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober 2026 mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Facebook Menteri Belia dan Sukan.
PIHAK Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sedang melaksanakan penilaian kos-faedah bersama firma perunding yang dilantik bagi menilai manfaat yang dijana Malaysia berbanding kos yang ditanggung susulan kejayaan penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia, baru-baru ini.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, penilaian tersebut akan mengambil kira perincian kos penganjuran dan impak ekonomi daripada penganjuran F1 tersebut.
"Hasil penilaian kos-faedah ini akan menjadi antara asas pertimbangan kerajaan dalam menentukan kesesuaian sekiranya Malaysia mempertimbangkan untuk kembali menganjurkan F1 pada masa hadapan," jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) mengenai penentuan asas pertimbangan sekiranya Malaysia kembali menganjurkan F1 secara tetap.
Dr. Mohammed Taufiq memberitahu, berdasarkan maklumat daripada Formula 1 Management (FOM), penganjuran Formula 1 di Sepang baru-baru ini telah menjana impak ekonomi hampir RM950 juta kepada negara.
Penganjuran ini juga katanya, telah memberikan manfaat dari segi promosi dan keterlihatan Malaysia di peringkat antarabangsa, dengan kejohanan tersebut disiarkan ke seluruh dunia dan ditonton oleh 827 juta penonton.
"Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia yang dilaksanakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober 2026 mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila kira-kira 261,000 peminat hadir sepanjang hujung minggu perlumbaan, termasuk anggaran 103,000 peminat pada hari perlumbaan.
"Kejayaan penganjuran ini turut direalisasikan melalui kerjasama rapat antara SIC dengan Bahrain International Circuit (BIC), serta sokongan kerajaan dan pihak berkepentingan.
"Berdasarkan data terkini daripada laporan penjualan tiket kejohanan, dianggarkan lebih 97,000 tiket telah dijual, kemasukan lebih 50,000 orang pelancong antarabangsa dan kira-kira 5,000 tenaga kerja asing telah hadir ke Malaysia sempena penganjuran kejohanan ini," jelasnya.
Menurut beliau, kehadiran penonton dari luar negara turut meningkatkan pendapatan sektor pelancongan, hospitaliti, penerbangan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan, serta memperkukuh profil Malaysia sebagai destinasi sukan dan pelaburan bertaraf dunia.

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.
Berita berkaitan

‘Pengalaman menyeronokkan, luar bidang sukan’ - Azizulhasni Awang

MASOC 2027 mulakan jelajah dekatkan Sukan SEA, Para ASEAN kepada rakyat

‘Tahniah Latif Romly, raih emas keempat berturut-turut’ - Anwar


