Kajian baseline RUU pengurusan bencana dijangka selesai dalam 12 bulan
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sedang dalam proses untuk melaksanakan Kajian Baseline Pewujudan Akta Pengurangan Risiko Bencana.


Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Jabatan Penerangan.
KAJIAN Baseline Pewujudan Akta Pengurangan Risiko Bencana susulan cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Bencana Negara dijangka diselesaikan dalam tempoh 12 bulan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, untuk itu garis masa khusus bagi pembentangan RUU berkenaan di Dewan Rakyat belum dapat ditetapkan buat masa ini.
Jelas beliau, ini kerana proses semasa masih melibatkan penelitian terhadap keperluan dan bentuk kerangka perundangan yang bersesuaian.
"Terkini Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sedang dalam proses untuk melaksanakan Kajian Baseline Pewujudan Akta Pengurangan Risiko Bencana bertujuan menilai keberkesanan kerangka perundangan dan mekanisme sedia ada.
"Ia juga bagi mengenal pasti jurang dalam aspek tadbir urus pengurangan risiko bencana," jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai perkembangan terkini penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Bencana Negara.
Ahmad Zahid berkata, kajian itu juga membolehkan NADMA menilai keperluan pewujudan suatu akta khusus berkaitan pengurangan risiko bencana dan memperjelas peranan serta tanggungjawab kementerian, jabatan, agensi dan kerajaan negeri dalam melaksanakan pendekatan pengurusan risiko bencana secara lebih bersepadu dan berasaskan risiko.
Katanya, hasil kajian itu akan menjadi salah satu asas penting kepada NADMA dalam menentukan hala tuju pengukuhan tadbir urus bencana negara, khususnya dalam aspek pencegahan, pengurangan risiko dan peningkatan daya tahan masyarakat serta negara.
"Oleh itu, pada peringkat semasa, kerajaan sedang mengambil pendekatan untuk memastikan bentuk dan skop perundangan yang bakal dicadangkan benar-benar bersesuaian dengan keperluan pengurusan bencana negara, dan tidak semata-mata menggubal undang-undang baharu tanpa terlebih dahulu mengenal pasti jurang sebenar dalam kerangka sedia ada," jelasnya.
"Pendekatan yang diambil itu selaras dengan hala tuju pengurusan bencana negara yang menekankan kesiapsiagaan berasaskan sains, data dan teknologi, tindakan awal, sistem amaran awal, struktur arahan yang jelas serta tindak balas yang pantas dan terselaras," katanya.
Tambahnya, setelah kajian tersebut dimuktamadkan, dapatan dan syor kajian akan diteliti serta diselaraskan bersama kementerian dan agensi berkaitan sebelum cadangan dasar dan perundangan dimuktamadkan.
Kerajaan katanya, sentiasa komited untuk memperkukuh tadbir urus pengurusan bencana negara, termasuk memastikan kerangka dasar dan perundangan sentiasa relevan dengan perkembangan risiko bencana yang semakin kompleks, pelbagai bahaya (multi-hazard) serta kesan perubahan iklim.

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


