TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Perjanjian yang dimeterai antara 2014 sehingga 2017 bersama Al-Rawda adalah salah satu pelaburan pajakan legasi di mana TH telah memajak empat buah rangkaian hotel di Makkah dan Madinah untuk tempoh jangka masa panjang.

LEMBAGA Tabung Haji (TH) meneruskan langkah penguatkuasaan dan penjejakan atau pengesanan aliran wang dan pindahan bank milik syarikat Al-Rawda Investment for Real Estate Development and Project Management Ltd (Al-Rawda) bagi tujuan pemulihan hutang dengan kerjasama pihak-pihak berkaitan di Arab Saudi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, TH memandang serius berkaitan perkara itu dan komited dalam menjaga kemampanan portfolio pelaburan berasaskan tahap toleransi risiko yang bersesuaian.
Sebagai makluman katanya, perjanjian yang dimeterai antara 2014 sehingga 2017 bersama Al-Rawda adalah salah satu pelaburan pajakan legasi di mana TH telah memajak empat buah rangkaian hotel di Makkah dan Madinah untuk tempoh jangka masa panjang.
"TH telah mengambil tindakan undang-undang dan prosiding penguatkuasaan di Mahkamah Arab Saudi berkenaan Nota Janji (promissory note) yang dikeluarkan oleh Al-Rawda dan dijamin oleh pemiliknya sendiri setelah Al-Rawda gagal membuat bayaran mengikut perjanjian bagi tempoh yang lama," jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mengenai langkah berkesan kerajaan untuk mendapatkan semula wang pelaburan pajakan Hotel Ar-Raudah yang mengalami kerugian, seumpama yang didedahkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga (TH).
Zulkifli memberitahu, prosiding timbang tara (arbitrasi) telah dimulakan oleh Al-Rawda terhadap TH pada 2021 dan keputusannya, Al-Rawda diarahkan untuk membayar SAR899 juta kepada TH.
"TH dan Al-Rawda telah menandatangani Perjanjian Penyelesaian pada 27 November 2024 berkenaan cara pembayaran award timbang tara sebanyak SAR899 juta tersebut.
"Al-Rawda hanya berjaya membayar sebahagian daripada jumlah award tersebut iaitu sebanyak SAR14.9 juta, tetapi masih gagal mematuhi terma Perjanjian Penyelesaian walaupun tempoh lanjutan telah diberikan oleh TH.
"Perjanjian Penyelesaian ini telah ditamatkan pada 15 Januari 2025," katanya.
Pada September 2025 jelasnya, TH telah mengemukakan surat aduan berhubung kegagalan Al-Rawda kepada Gabenor Makkah.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM

Kajian baseline RUU pengurusan bencana dijangka selesai dalam 12 bulan


