521kg dadah dirampas di Laos bukan dari Malaysia
Sindiket ini dipercayai menggunakan pesawat jet persendirian untuk menyeludup dadah dari Laos ke Filipina.

Gambar yang tersebar di media sosial mengenai rampasan 23 beg berisi 521 kilogram dadah di Laos.
SEBANYAK 23 beg berisi 521 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine yang dirampas daripada sebuah jet peribadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, Laos, semalam, bukan berasal dari Malaysia.
Sebaliknya, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pesawat berkenaan dikesan berlepas dari Lapangan Terbang Subang tanpa sebarang muatan sebelum menuju ke Laos.
Jelas beliau, sekitar pukul 11.30 pagi, pesawat berkenaan mendarat di Laos, dinaiki tiga individu iaitu seorang juruterbang warga Singapura, pembantu juruterbang warga Malaysia dan seorang penumpang Filipina.

"Kira-kira pukul 1.30 petang, dua buah kenderaan tiba dengan membawa 23 beg dan kesemua beg tersebut telah dipindahkan ke dalam pesawat dengan bantuan kakitangan lapangan terbang berkenaan," jelasnya.
Hussein berkata, susulan tangkapan tersebut, pihak berkuasa Laos menahan 10 individu lagi bagi siasatan lanjut.
Mereka katanya, terdiri daripada tiga warga Laos yang merupakan kakitangan syarikat perkhidmatan darat selain tujuh lagi kakitangan lapangan terbang terbabit yang mengendalikan mesin X-ray.
Jelasnya, sindiket ini dipercayai menggunakan pesawat jet persendirian untuk menyeludup dadah dari Laos ke Filipina.
"Dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran Manila dan bukannya pasaran di Malaysia.
"Pihak polis telah memulakan siasatan berkaitan kes ini dan akan menghantar pegawai daripada JSJN ke Laos untuk siasatan lanjut bagi mendapatkan maklumat berkaitan rangkaian sindiket dadah yang terlibat khususnya di Malaysia," katanya.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


