467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Ia melibatkan nilai rampasan keseluruhan direkodkan berjumlah lebih RM300 juta.

Antara barangan kosmetik yang dirampas menerusi Op Taring Dosej.
SERAMAI 467 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan penyeludupan barangan tidak bercukai, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi selain penyeludupan hidupan liar serta operasi berkaitan e-waste, bagi tempoh 1 Januari hingga 26 Oktober tahun ini.
Ia melibatkan nilai rampasan keseluruhan direkodkan berjumlah lebih RM300 juta.
Komander Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, tindakan dilakukan hasil 286 serbuan dijalankan di seluruh negara.
Terbaharu katanya, WCB/PSK JKDNKA dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan operasi bersepadu menerusi Op Taring Dosej.
Menurut beliau, operasi dijalankan pada pakul 10.50 pagi semalam melibatkan pemeriksaan di sebuah premis syarikat kurier dan logistik di Kuala Lumpur, yang disyaki digunakan sebagai lokasi penyimpanan dan pengedaran produk kesihatan, kosmetik serta barangan berjenama, dipercayai tidak mematuhi keperluan undang-undang berkaitan.
"Serbuan membawa kepada rampasan 9,257 unit produk kesihatan, kosmetik dan barangan berjenama yang disyaki melanggar peruntukan undang-undang, dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM765,750.
"Dua lelaki warga asing berusia 23 dan 29 tahun ditahan, dipercayai bekerja sebagai pekerja pembungkusan di premis berkenaan," jelasnya dalam kenyataan.
Mohd Zaki berkata, kedua-dua individu tersebut ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kesalahan imigresen.
Pemeriksaan lanjut jelasnya, menemukan sejumlah 9,130 unit produk kesihatan dan kosmetik pelbagai jenama yang disyaki tidak tidak berdaftar dengan KKM selain 127 unit barangan berjenama Adidas, Coach dan Tory Burch (menggunakan cap dagangan tiruan).

"Daripada jumlah keseluruhan rampasan tersebut, produk kesihatan dan kosmetik yang dianggarkan bernilai RM734,000 telah diambil tindakan oleh pihak penguatkuasaan farmasi KKM manakala barangan berjenama tiruan dianggarkan bernilai RM31,750 diambil untuk tindakan KPDN," katanya.
Beliau memberitahu, bagi aspek penguatkuasaan farmaseutikal, kes melibatkan kesalahan yang disiasat di bawah Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, berkaitan penjualan atau pemilikan keluaran yang tidak berdaftar, serta Peraturan 18a, peraturan yang sama, berkaitan penjualan atau pemilikan kosmetik yang tidak bernotifikasi.
Sementara itu katanya, bagi barangan berjenama yang disyaki tiruan, tindakan siasatan diambil di bawah Seksyen 102, Akta Cap Dagangan 2019.
Katanya, kedua-dua individu warga asing yang ditahan pula disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 berkaitan kegagalan mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
"Dalam operasi tersebut, pihak berkuasa turut mengambil keterangan daripada penyelia premis bagi membantu siasatan berhubung sumber bekalan, pemilikan, penyimpanan dan pengedaran barangan yang dirasmpas.
"Siasatan lanjut akan diteruskan oleh agensi berkaitan bagi mengenal pasti pihak lain yang mungkin terlibat dalam rangkaian pembekalan dan pengedaran berkenaan," katanya.
Berita berkaitan

TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM

Kajian baseline RUU pengurusan bencana dijangka selesai dalam 12 bulan


