The Step - Every Story Moves You

SIEW 2026 bukti komitmen Malaysia bangunkan industri tenaga

Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), penyertaan itu itu memberi peluang kepada kerajaan untuk menonjolkan pelaksanaan inisiatif-inisiatif dua hala dan pelbagai hala di antara kedua-dua negara.

Metra Syahril Mohamed
Oleh Metra Syahril MohamedKetua Pengarang The Step26 Oktober 2026 pada 04:13 PTG3 min bacaanDikemas kini 26 Oktober 2026 pada 09:27 PTG
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

PENYERTAAN Malaysia pada persidangan tahunan Singapore International Energy Week (SIEW) 2026 yang berlangsung di Singapura, hari ini, membuktikan komitmen Malaysia dalam membangunkan industri tenaga.

Ia sekali gus menarik minat dan keyakinan pelabur dan pembiaya antarabangsa untuk melabur di dalam pelaksanaan dan pembangunan projek berkaitan tenaga di Malaysia.

Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), penyertaan itu memberi peluang kepada kerajaan untuk menonjolkan pelaksanaan inisiatif-inisiatif dua hala dan pelbagai hala di antara kedua-dua negara.

Jelasnya, Malaysia diwakili Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dalam ucaptama bertemakan 'Connecting Energy Systems, Powering Tomorrow' (Salinghubungan Sistem Tenaga untuk Memacu Masa Hadapan), Fadillah menegaskan bahawa keselamatan tenaga kini merupakan satu keperluan strategik dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan serta peningkatan permintaan elektrik yang didorong oleh pertumbuhan ekonomi, pusat data dan kecerdasan buatan (AI).

Tema tersebut mencerminkan keperluan untuk memperkukuh kesalinghubungan bukan sahaja antara grid dan pasaran tenaga malah teknologi, pelaburan serta kerjasama antara negara bagi membina sistem tenaga yang lebih berdaya tahan untuk masa hadapan.

Sehubungan itu jelas PETRA, Malaysia akan terus melaksanakan peralihan tenaga yang selamat, mampu milik dan lestari menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap - NETR), dengan sasaran tenaga boleh baharu mencapai 70 peratus daripada kapasiti terpasang menjelang 2050 serta aspirasi pelepasan sifar bersih seawal tahun 2050.

"Datuk Seri (Fadillah) turut menyatakan bahawa pengukuhan infrastruktur grid, pembangunan sistem penyimpanan tenaga, peningkatan fleksibiliti sistem serta kepelbagaian sumber tenaga perlu dilaksanakan seiring dengan pertambahan kapasiti tenaga boleh baharu.

"Dalam konteks serantau, aspirasi ASEAN Power Grid (APG) perlu direalisasikan melalui pembangunan infrastruktur dan peluasan perdagangan elektrik rentas sempadan bagi memperkukuh keselamatan tenaga.

"Malaysia melihat kesalinghubungan tenaga serantau sebagai aset strategik untuk meningkatkan kecekapan sistem, menyokong integrasi tenaga boleh baharu serta memperkukuh daya tahan ASEAN dalam menghadapi gangguan bekalan," jelasnya dalam kenyataan.

PETRA menambah, Timbalan Perdana Menteri turut mengetengahkan peranan teknologi dan pembiayaan sebagai pemacu transformasi sistem tenaga.

Selain mendorong peningkatan permintaan elektrik katanya, Al berpotensi meningkatkan keupayaan ramalan permintaan, mengoptimumkan operasi grid serta memudahkan integrasi tenaga boleh baharu.

Jelas PETRA, pada masa yang sama, pelaksanaan projek tenaga serantau memerlukan penggemblengan modal swasta, sokongan institusi pelbagai hala serta mekanisme pembiayaan inovatif, termasuk melalui ASEAN Power Grid Financing Initiative yang disokong oleh Asian Development Bank dan World Bank.

"Beliau turut menyatakan bahawa hala tuju dasar yang jelas dan konsisten, kawal selia yang telus serta kerjasama serantau yang kukuh merupakan asas penting dalam meningkatkan keyakinan pelabur," katanya.

Sempena persidangan itu, Fadillah turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Tenaga Malaysia dengan Energy Market Authority (EMA) Singapura, serta MoU yang melibatkan Ditrolic Energy, International Finance Corporation (IFC), DBS dan Maybank bagi memperkukuh kerjasama dalam sektor tenaga.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri menyaksikan penyerahan kelulusan bersyarat yang menandakan kemajuan projek sambung tara elektrik Vietnam-Malaysia-Singapura, melibatkan kerjasama PTSC, Petrovietnam, Sembcorp, PETRONAS dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Selari dengan penyertaan tersebut, Fadillah turut mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari Singapura serta beberapa pemimpin industri tenaga antarabangsa, termasuk Japan Bank for International Cooperation (JBIC), Siemens Energy, ACWA Power, Électricité de France (EDF), Gentari dan Mitsubishi Heavy Industries bagi memperkukuh jaringan kerjasama dalam sektor tenaga.

PETRA memberitahu, antara perkara yang dibincangkan ialah pengukuhan rantaian bekalan industri tenaga bersih, termasuk pembuatan turbin, pembangunan modal insan serta peranan Kerajaan dalam memudah cara pelaburan dan menggalakkan penggunaan teknologi terkini dalam bidang tenaga bersih.

Katanya, penyertaan Timbalan Perdana Menteri ke persidangan tenaga serantau itu menonjolkan komitmen berterusan Malaysia dalam memacu agenda peralihan tenaga, kelestarian alam sekitar dan keselamatan tenaga serantau, selaras dengan semangat 'Salinghubungan Sistem Tenaga untuk Memacu Masa Hadapan'.

"Malaysia akan terus memperkukuh kesalinghubungan serantau, kerjasama antarabangsa serta penglibatan dengan institusi seperti IEA bagi menyokong pembangunan sistem tenaga yang lebih selamat, berdaya tahan, mampu milik dan lestari," katanya.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp
Tentang Penulis
Metra Syahril MohamedKetua Pengarang The Step, The Step | 86 siaran

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.

Lihat semua tulisan

Berita berkaitan

SPRM.
Nasional

Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM

Oleh Metra Syahril Mohamed27 Oktober 2026 pada 08:07 PG
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Nasional

Kajian baseline RUU pengurusan bencana dijangka selesai dalam 12 bulan

Oleh Metra Syahril Mohamed27 Oktober 2026 pada 07:44 PG
EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com