Kematian dalam tahanan: IPCC mulakan siasatan salah laku
IPCC menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan memahami keprihatinan keluarga serta masyarakat terhadap kejadian tersebut.


Seksyen 26 Akta 839 memperuntukkan kewajipan PDRM untuk merujuk kejadian tertentu kepada IPCC, termasuk kematian seseorang semasa berada dalam tahanan atau jagaan polis. - Gambar hiasan.
SURUHANJAYA Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) telah memulakan siasatan salah laku berhubung kes kematian Allahyarham Noorizwan Zulkefly semasa berada dalam tahanan atau jagaan polis.
Menurut IPPC, ia, susulan rujukan kes oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), seperti dimaklumkan menerusi kenyataan bertarikh 24 Oktober lalu.
IPCC menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan memahami keprihatinan keluarga serta masyarakat terhadap kejadian tersebut.
"Sebagai sebuah badan pemantau bebas yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 [Akta 839], IPCC bertanggungjawab melaksanakan fungsi pemantauan dan siasatan terhadap perkara berkaitan tatakelakuan anggota polis mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang," jelasnya dalam kenyataan.
Dalam hubungan itu tegas IPCC, Seksyen 26 Akta 839 memperuntukkan kewajipan PDRM untuk merujuk kejadian tertentu kepada IPCC, termasuk kematian seseorang semasa berada dalam tahanan atau jagaan polis.
Peruntukan berkenaan katanya, membolehkan kejadian sedemikian diteliti melalui mekanisme pemantauan bebas yang diwujudkan di bawah akta berkenaan.
"Sehubungan itu, IPCC telah mengambil tindakan untuk menjalankan siasatan bagi meneliti fakta, dokumen, keterangan dan keadaan berkaitan kejadian tersebut, selaras dengan mandat dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Akta 839.
"Siasatan IPCC dilaksanakan secara bebas, saksama dan berasaskan keterangan yang diperoleh serta disahkan melalui proses yang berkenaan," katanya.
Tambah IPCC, dapatan siasatan akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis mengikut peruntukan undang-undang yang terpakai.
IPCC turut menegaskan bahawa rujukan dan pelaksanaan siasatan ini tidak boleh ditafsirkan sebagai suatu kesimpulan awal bahawa telah berlaku salah laku oleh mana-mana pihak.
Katanya, sebarang penilaian, dapatan atau syor hanya akan dibuat berdasarkan hasil siasatan dan peruntukan undang-undang yang berkaitan.
"IPCC komited untuk melaksanakan tanggungjawab pemantauan bebas secara telus, berintegriti dan profesional, dengan memastikan setiap perkara yang dirujuk kepadanya diteliti sewajarnya, di samping menghormati hak serta kepentingan semua pihak yang terlibat.
"Sebarang perkembangan yang sesuai untuk dimaklumkan kepada orang ramai akan disampaikan melalui saluran rasmi IPCC, tertakluk kepada keperluan menjaga kerahsiaan dan integriti proses siasatan," jelasnya.

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


