MASOC 2027 mulakan jelajah dekatkan Sukan SEA, Para ASEAN kepada rakyat
Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 pada 18 hingga 29 September 2027, dengan penganjuran melibatkan empat kluster, iaitu Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor, berteraskan aspirasi 'Raikan Perpaduan'.


Pelakon popular tanah air, Nabila Huda, hadir memeriahkan Jelajah Promosi Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14.
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menerusi Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia 2027 (MASOC 2027) melancarkan Jelajah Promosi Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 bagi memperluas kesedaran masyarakat serta menyemarakkan sokongan rakyat menjelang penganjuran kedua-dua temasya sukan serantau itu pada 2027.
Majlis peluncuran di The Volume, The Arch Galleries, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur itu dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif MASOC 2027, Datuk Abdul Rashid Yaakub, sekali gus memulakan kempen berteraskan pendekatan interaktif dan penglibatan masyarakat secara langsung.
Abdul Rashid berkata, jelajah berkenaan bukan sekadar usaha memperkenalkan temasya, sebaliknya platform untuk membawa semangat Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 lebih dekat kepada rakyat, tanpa mengira lokasi dan latar belakang masyarakat.
Pihaknya mahu semangat 2027 dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia, bukan hanya di bandar utama, tetapi juga di kawasan luar bandar dan pedalaman.
"Jelajah mengikut zon ini memberi peluang kepada MASOC untuk mendekati komuniti secara langsung, memperluas kesedaran dan membina sokongan rakyat terhadap temasya yang bakal kita anjurkan," katanya.

Antara pengisian utama ialah perarakan trak terbuka yang membawa identiti rasmi temasya melalui lima lokasi strategik di Kuala Lumpur, iaitu Pasar Seni (Central Market), The Exchange TRX, Bukit Bintang, Dataran Merdeka dan Menara Berkembar (KLCC), dengan aktiviti di lokasi terpilih bagi mendekatkan kempen kepada masyarakat dan pelancong.
Aktiviti berkenaan merangkumi sesi ramah mesra bersama atlet negara, penampilan maskot rasmi, persembahan pancaragam dan pasukan sorak, permainan interaktif bertemakan sukan, pengagihan cenderamata serta sesi fotografi bagi meningkatkan keterlibatan orang awam.
Jelajah promosi itu akan diteruskan ke Zon Timur, Zon Utara dan Zon Selatan, bagi memperluas jangkauan kempen ke pelbagai negeri dan komuniti.

Abdul Rashid menambah, pihaknya telah memulakan usaha mendekati masyarakat menerusi reruai MASOC dalam program KIBAR, MADANI Kita dan Le Tour de Langkawi.
Jelajah mengikut zon ini jelasnya, akan meneruskan momentum berkenaan supaya mesej temasya 2027 dapat disampaikan dengan lebih meluas, termasuk kepada masyarakat di pelosok negara.
Sebelum ini, MASOC 2027 turut melaksanakan usaha promosi menerusi program berkenaan bagi memperkenalkan temasya, meningkatkan keterlihatan identiti rasmi serta menggalakkan penglibatan masyarakat dalam menyokong atlet negara.

Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 pada 18 hingga 29 September 2027, dengan penganjuran melibatkan empat kluster, iaitu Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor, berteraskan aspirasi 'Raikan Perpaduan'.
Abdul Rashid berharap jelajah berkenaan dapat menyatukan sokongan rakyat dari seluruh negara dan menyemarakkan budaya sukan.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan penganjuran bukan sahaja diukur melalui kelancaran pertandingan serta pencapaian atlet, tetapi juga melalui legasi bermakna kepada masyarakat dan perpaduan serantau.

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.
Berita berkaitan

‘Pengalaman menyeronokkan, luar bidang sukan’ - Azizulhasni Awang

‘Tahniah Latif Romly, raih emas keempat berturut-turut’ - Anwar

Usaha perkukuh struktur liga, tingkat prestasi bola sepak Malaysia


