The Step - Every Story Moves You

Kerajaan tanggung kos rawatan, perubatan Hafizuddin

Atlet tersebut sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) susulan kecederaan dalam satu kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Metra Syahril Mohamed
Oleh Metra Syahril MohamedKetua Pengarang The Step18 November 2026 pada 11:39 PG2 min bacaanDikemas kini 18 November 2026 pada 02:21 PTG
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari menziarahi Muhammad Hafizuddin Roslin di HKL.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari menziarahi Muhammad Hafizuddin Roslin di HKL.

KERAJAAN melalui Majlis Sukan Negara (MSN) akan menanggung sepenuhnya kos rawatan dan perubatan berkaitan, termasuk rawatan susulan dan penginapan di wad terhadap atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin.

Atlet tersebut sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) susulan kecederaan dalam satu kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, elaun latihan Hafizuddin juga akan diteruskan seperti biasa berdasarkan kadar kelayakan semasa.

"Saya hari ini menziarahi Hafizuddin di HKL. Beliau berada dalam keadaan baik dan kuat semangat. Saya turut bertemu ibu bapa dan ahli keluarga beliau serta menyampaikan sumbangan peribadi bagi meringankan beban keluarga sepanjang tempoh rawatan.

"Semakan MSN melalui Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) mendapati Hafizuddin layak menerima manfaat polisi insurans yang dianggarkan berjumlah RM120,000," jelasnya.

Dr. Mohammed Taufiq berkata, Hafizuddin juga layak menerima faedah di bawah Skim Lindung 24 Jam PERKESO.

Hafizuddin meraih pingat emas kategori 88 kilogram lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan jumlah angkatan keseluruhan 345 kilogram.
Hafizuddin meraih pingat emas kategori 88 kilogram lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan jumlah angkatan keseluruhan 345 kilogram.

Jelas beliau, berdasarkan anggaran PERKESO, beliau akan menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sebanyak RM50.40 sehari sepanjang tempoh cuti sakit, diikuti Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) sebanyak RM915.84 sebulan seumur hidup, serta bayaran pukal sekali gus sebanyak RM39,060.58.

Katanya, atlet berkenaan turut layak menerima Faedah Perubatan serta kemudahan Pemulihan Jasmani dan Vokasional.

"Bagi memudahkan keluarga menemani Hafizuddin sepanjang tempoh rawatan di HKL, MSN turut menyediakan penginapan dan makan di Casa MSN atau di lokasi lain yang difikirkan sesuai oleh keluarga.

"MSN juga akan meneliti bentuk bantuan dan sokongan jangka panjang yang bersesuaian, termasuk dari aspek pemulihan, kaunseling dan peluang masa depan beliau, bagi memastikan kebajikan Hafizuddin terus terpelihara.

"Sama-sama kita doakan wira negara kita, Hafizuddin, agar terus tabah dan kuat sepanjang proses pemulihan. Saya juga memohon orang ramai menghormati privasi beliau dan keluarga sepanjang tempoh ini," katanya.

Malam tadi beliau selesai menjalani pembedahan di HKL, namun tangan kanannya tidak dapat diselamatkan kerana terpaksa dipotong.

Perkara itu disahkan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat yang memaklumkan tindakan memotong tangan atlet berusia 22 tahun itu dibuat atas saranan doktor bagi menyelamatkan nyawanya.

Hafizuddin yang mesra disapa Udin sebelum ini dilaporkan terbabit dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), ketika dalam perjalanan dari Ampang menuju ke Bukit Jalil.

Atlet kelahiran Perlis itu meraih pingat emas kategori 88 kilogram lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan jumlah angkatan keseluruhan 345 kilogram.

Kejayaan itu turut menyaksikan beliau mencipta rekod kebangsaan baharu acara snatch menerusi angkatan 162 kilogram, selain rekod baharu Sukan Komanwel dalam kategori berkenaan.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp
Tentang Penulis
Metra Syahril MohamedKetua Pengarang The Step, The Step | 102 siaran

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.

Lihat semua tulisan

Berita berkaitan

Jelajah Promosi @Pantai Timur sempena sambutan Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14, Malaysia 2027 bakal dibawa ke Pantai Timur.
Sukan

Semarak Sukan SEA 2027 jelajah Pantai Timur

Oleh The Step19 November 2026 pada 02:07 PTG
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari.
Sukan

LA 2028: KBS perkukuh persediaan atlet, buru pingat emas pertama

Oleh Metra Syahril Mohamed18 November 2026 pada 06:55 PG
Pelakon popular tanah air, Nabila Huda, hadir memeriahkan Jelajah Promosi Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14.
Sukan

MASOC 2027 mulakan jelajah dekatkan Sukan SEA, Para ASEAN kepada rakyat

Oleh Metra Syahril Mohamed24 Oktober 2026 pada 11:14 PTG
EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com