The Step - Every Story Moves You

Penemuan dadah Pangkalan Udara Subang: Bagasi tiada pelekat pengesahan pemeriksaan keselamatan

Pemeriksaan awal mendapati bagasi-bagasi berkenaan dalam keadaan mencurigakan tidak mempunyai pelekat pengesahan pemeriksaan keselamatan (security screening stickers) yang menunjukkan bahawa bagasi berkenaan telah menjalani pemeriksaan keselamatan.

Metra Syahril Mohamed
Oleh Metra Syahril MohamedKetua Pengarang The Step20 November 2026 pada 05:24 PTG2 min bacaanDikemas kini 20 November 2026 pada 09:41 PTG
Laporan The Step, semalam, mengenai penahanan lima pegawai TUDM.

Laporan The Step, semalam, mengenai penahanan lima pegawai TUDM.

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan penemuan bahan disyaki dadah seberat 96.6 kilogram telah berlaku di Pangkalan Udara Subang pada 17 November lalu hasil pengesanan awal oleh petugas TUDM di Bangunan Pergerakan Udara (AMS), Pangkalan Udara Subang.

Demikian disahkan Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris dengan pemeriksaan awal mendapati bagasi-bagasi berkenaan dalam keadaan mencurigakan tidak mempunyai pelekat pengesahan pemeriksaan keselamatan (security screening stickers) yang menunjukkan bahawa bagasi berkenaan telah menjalani pemeriksaan keselamatan.

"Hasil pemeriksaan lanjut oleh anggota keselamatan daripada Pasukan Pertahanan Darat TUDM (HANDAU) menggunakan mesin pengimbas telah mengesan beberapa bungkusan mencurigakan yang disusun dengan kemas di dalam bagasi berkenaan," jelasnya dalam kenyataan.

Muhamad Norazlan berkata, susulan penemuan tersebut, TUDM telah mengambil tindakan awal dengan menahan individu yang disyaki terlibat serta melaporkan kepada pihak polis dan menyerahkan Orang Yang Disyaki (OYDS) kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Setakat ini katanya, lima pegawai dan dua anggota TUDM telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian ini.

"TUDM menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku atau penglibatan warga TUDM dalam kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah, khususnya yang melibatkan penggunaan pesawat serta aset ketenteraan, tanpa mengira pangkat dan jawatan," katanya.

Jelas beliau, ketegasan dan tindakan proaktif TUDM dalam mengesan, membuat tangkapan awal, melaporkan serta menyerahkan individu yang disyaki terlibat kepada pihak berkuasa membuktikan komitmen TUDM untuk membanteras kegiatan seumpama ini daripada terus berleluasa.

Menurutnya, TUDM akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara menyeluruh dan tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Semalam Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan memberitahu, lima pegawai TUDM antara 11 individu ditahan kerana disyaki terbabit aktiviti pengedaran 96.64 kg dadah menggunakan aset tentera, baru-baru ini.

Hussein berkata, hasil siasatan mendapati dua daripada individu awam yang ditahan dipercayai berperanan sebagai koordinator dalam mengatur dan menyelaras kegiatan pengedaran dadah sindiket berkenaan.

JSJN kini katanya, sedang giat mengesan seorang lagi warganegara Malaysia yang dipercayai merupakan ketua sindiket bagi membongkar keseluruhan struktur organisasi dan mengenal pasti pihak lain yang terlibat.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp
Tentang Penulis
Metra Syahril MohamedKetua Pengarang The Step, The Step | 102 siaran

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.

Lihat semua tulisan

Berita berkaitan

EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com