'Saya gesa Poay Tiong hormati sensitiviti umat Islam' – Menteri Agama
Peraturan PBT berkenaan bertujuan memelihara kewajipan ibadah serta memberi ruang kepada pekerja dan pelanggan Muslim menunaikan solat Jumaat tanpa kekangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menegaskan tidak bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang mempertikaikan arahan penutupan sementara premis perniagaan pada waktu solat Jumaat, termasuk melibatkan rangkaian kedai serbaneka.
Tegas beliau, perkara tersebut merupakan urusan pentadbiran negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai asas perundangan melalui enakmen negeri serta mandat rakyat tempatan, seperti di Negeri Terengganu, selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan.
"Dalam Islam, setiap lelaki wajib menunaikan solat Jumaat dan meninggalkan urusan jual beli apabila tiba waktunya adalah tuntutan agama yang jelas berlandaskan Surah al-Jumu’ah, ayat 9, dan bukannya sekadar satu amalan budaya," jelasnya.
Beliau memberitahu, peraturan PBT berkenaan bertujuan memelihara kewajipan ibadah serta memberi ruang kepada pekerja dan pelanggan Muslim menunaikan solat Jumaat tanpa kekangan.
"Sehubungan itu, saya menggesa YB (Yang Berhormat) Khoo (Poay Tiong) agar menghormati urusan pentadbiran sesebuah negeri dan sensitiviti umat Islam.
"Dalam membina masyarakat majmuk yang harmoni, setiap pemimpin perlu cermat dan saling menghormati batas amalan agama masing-masing agar ia tidak dijadikan bahan polemik atau pertikaian politik," katanya.
Terdahulu Pengerusi DAP Melaka itu didakwa mempersoalkan arahan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mewajibkan semua premis perniagaan menghentikan operasi selama dua jam setiap Jumaat.
Beliau kemudiannya menegaskan tidak berniat menyentuh sensitiviti atau memperlekehkan amalan agama mana-mana pihak.
Tambahnya, ia hanya membangkitkan persoalan mengenai dasar dan penguatkuasaan yang turut memberi kesan kepada masyarakat bukan Islam.
Berita berkaitan

Curi kabel di siang hari di Jalan Tun Razak, polis giat buru kumpulan suspek
Oleh The Step21 November 2026 pada 04:14 PTG

Khoo Poay Tiong akui silap, mohon maaf isu premis tutup Jumaat di Kuala Terengganu


