Curi kabel di siang hari di Jalan Tun Razak, polis giat buru kumpulan suspek
Siasatan mendapati kejadian berlaku pada masa siang hari melibatkan sekumpulan individu menggunakan dua buah kenderaan sedang memotong kabel.

Tangkap layar daripada video tular menunjukkan sekumpulan suspek mencuri kabel di Jalan Tun Razak.
POLIS sedang memburu sekumpulan individu yang disyaki terlibat dalam kejadian mencuri kabel di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Tun Razak, selepas rakaman insiden itu tular di media sosial hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima satu laporan polis pukul 9.50 pagi tadi berhubung kejadian satu hantaran tular di media sosial Threads memaparkan sekumpulan individu disyaki mencuri kabel di hadapan TREC, Jalan Tun Razak.
Menurut beliau, siasatan mendapati kejadian berlaku pada masa siang hari melibatkan sekumpulan individu menggunakan dua buah kenderaan sedang memotong kabel.
"Semasa kejadian, kesemua suspek melarikan diri setelah dihampiri oleh orang awam.
"Tindakan mengesan kesemua suspek yang terlibat sedang giat dijalankan," jelasnya.
Beliau memberitahu, kes disiasat dibawah Seksyen 235 Akta Komunikasi Multimedia 1998 serta Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Pihak polis katanya, menasihatkan masyarakat untuk segera menghubungi polis sekirannya mempunyai maklumat sebarang perbuatan jenayah.
"Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi pihak polis melalui Hotline Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Hotline IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin turut berkongsi video memaparkan mengenai kejadian tersebut.
"Memang berani betul melakukan kegiatan ini di hadapan orang ramai.
"Seperti yang pernah saya bangkitkan di Parlimen, kegiatan kecurian kabel ini berlaku berulang kali dan perlu ditangani secara menyeluruh.
Ketika itu saya membangkitkan persoalan, kabel yang dicuri ini tentunya ada tempat untuk dijual. Siapakah yang membelinya dan apakah tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam kegiatan tersebut?" Soalnya dalam hantaran di Facebook.
Berita berkaitan


Khoo Poay Tiong akui silap, mohon maaf isu premis tutup Jumaat di Kuala Terengganu

'Saya gesa Poay Tiong hormati sensitiviti umat Islam' – Menteri Agama
Oleh The Step20 November 2026 pada 09:38 PTG

