‘Suami jangan buat tak tahu, isteri juga ada had kesabaran’ – Dr Hisham
Di sebalik senyuman seorang wanita, tersembunyi seribu pengorbanan yang tidak semuanya mampu diluahkan. Menerusi program Kerana Wanita Berhak Bahagia bersama Dr Hisham Dzakiria di PWTC pada 15 Oktober 2026, wanita diingatkan agar tidak terus memendam luka demi menjaga hati orang lain. Isu komunikasi suami isteri, tanggungjawab nafkah dan tekanan emosi diketengahkan sebagai asas keharmonian rumah tangga. Kerana menjadi isteri bukan bererti perlu mengorbankan diri tanpa batas, dan menjadi wanita yang kuat bukan bermaksud harus menderita dalam diam.


Program Kerana Wanita Berhak Bahagia anjuran PUSPANITA di PWTC,Kuala Lumpur
WANITA sering kali menjadi individu yang paling banyak berkorban dalam rumah tangga, namun tidak semua pengorbanan itu terlihat, apatah lagi dihargai. Di sebalik senyuman seorang isteri, mungkin tersimpan keletihan emosi, tekanan yang dipendam dan perasaan yang terlalu lama tidak didengari.
Pakar Terapi Emosi, Dr Hisham Dzakiria, berkata wanita tidak seharusnya membiarkan pemikiran negatif dan tekanan masyarakat merampas ketenangan diri sehingga mengabaikan kebahagiaan sendiri.
“Jangan terlalu sibuk menjaga hati orang sehingga hati sendiri terluka. Wanita tidak seharusnya hidup semata-mata untuk memenuhi jangkaan orang lain.
“Apabila terlalu memikirkan pandangan masyarakat dan takut dianggap gagal, seseorang boleh terus memendam perasaan sehingga menjejaskan kesejahteraan emosinya.
“Hakikatnya, tidak semua perkara yang bermain dalam fikiran itu benar-benar akan berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi pandangan dalam program PUSPANITA Kerana Wanita Berhak Bahagia yang berlangsung pada 15 Oktober 2026 di Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur.
Tiada pasangan sempurna
Pemilik Healing Centre Dr Hisham Dzakiria itu turut menegaskan bahawa tiada suami atau isteri yang sempurna dalam rumah tangga, justeru setiap pasangan perlu belajar menerima kekurangan dan menghargai pengorbanan masing-masing.
“Seorang isteri juga mempunyai emosi, impian dan batas kemampuan. Dia boleh menjadi seorang yang kuat, tetapi itu tidak bermaksud dia tidak pernah penat.
“Jangan jadikan kesabaran isteri sebagai alasan untuk terus mengabaikan perasaannya. Kebahagiaan rumah tangga memerlukan usaha kedua-dua pihak, bukan hanya isteri yang perlu memahami, malah suami juga perlu belajar mendengar dan menghargai pasangan,” katanya.
Nafkah tanggungjawab suami
Dalam pada itu, Dr Hisham mengingatkan bahawa tanggungjawab menyediakan nafkah keluarga perlu dipikul oleh suami mengikut tuntutan syarak dan kemampuan, manakala bantuan isteri dalam mencari rezeki perlu dihargai sebagai sokongan kepada keluarga.
“Isteri yang membantu mencari rezeki tidak seharusnya dijadikan alasan untuk meletakkan keseluruhan beban kewangan di atas bahunya.
“Jangan sampai isteri terpaksa menguruskan rumah tangga, membantu menyara keluarga dan menjadi tempat bergantung semua orang sehingga dirinya sendiri kehabisan tenaga.
“Rumah tangga memerlukan keseimbangan tanggungjawab, persefahaman dan sikap saling menghargai,” katanya.
Pillow talk eratkan hubungan

Kesibukan kerja dan tanggungjawab keluarga boleh menyebabkan komunikasi suami isteri semakin terbatas, malah ada pasangan yang tidur sebantal tetapi semakin jauh dari segi emosi.
Justeru, pillow talk atau perbualan dari hati ke hati penting bagi memberi ruang kepada pasangan untuk berkongsi perasaan, meluahkan kebimbangan dan memahami keperluan emosi masing-masing.
“Kadangkala, pertanyaan sederhana seperti ‘Awak okay hari ini?’ atau kesediaan suami mendengar tanpa menghakimi sudah cukup membuatkan isteri berasa dihargai.
“Communication is the key. Jangan biarkan isteri terpaksa menangis sendirian untuk perkara yang sepatutnya boleh dibincangkan bersama. Belajarlah mendengar sebelum dia memilih untuk berhenti bercerita,” katanya.
Konflik bukan pengakhiran
Menurut Dr Hisham, konflik rumah tangga tidak semestinya berakhir dengan perpisahan kerana masih terdapat ruang untuk berbincang, mendapatkan khidmat kaunseling dan membina semula kepercayaan sekiranya kedua-dua pihak bersedia memperbaiki hubungan.
Bagaimanapun, usaha mempertahankan rumah tangga tidak bermakna wanita perlu mengorbankan maruah, keselamatan dan kesejahteraan diri tanpa batas.
“Wanita juga berhak bahagia, didengari dan dihargai. Menjadi isteri bukan bermaksud perlu memendam perasaan atau menanggung semua beban seorang diri.
“Hubungan yang sihat terbina apabila suami isteri saling memahami, menghormati dan menyokong antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata, kebahagiaan rumah tangga tidak boleh diletakkan di atas pengorbanan seorang wanita semata-mata, sebaliknya memerlukan usaha bersama untuk membina hubungan yang selamat dan harmoni.
Barisan tetamu dan persembahan istimewa

Program PUSPANITA Kerana Wanita Berhak Bahagia turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, termasuk YBhg. Datin Roszita binti Imaduddin, Datin Yuzaira binti Yusoff dan Datin Sri Wahinah binti Haroon Rasheed.
Majlis turut diceriakan dengan cabutan bertuah, dimana tiga peserta bertuah membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM300, wang tunai RM500 dan hadiah utama berupa jongkong emas (gold bar) kepada seorang pemenang bertuah.
Suasana program turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi jemputan, Ayu Damit, yang menyampaikan lagu Hanya Di Mercu, Beauty Till Jannah dan Original Sabahan.
Secara keseluruhannya, program berkenaan membawa mesej bahawa kebahagiaan wanita bukan sekadar tentang kemampuan bertahan menghadapi ujian, tetapi turut melibatkan hak untuk dihargai, didengari dan menjalani kehidupan dengan sejahtera.
Kerana menjadi wanita yang kuat bukan bermaksud perlu menanggung semuanya seorang diri.

Muhamad Nur Hakim bin Rosli merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta atlet Silat UKM yang aktif mewakili universiti dalam pelbagai kejohanan, termasuk Kejohanan MASUM Terengganu dengan pencapaian pingat gangsa. Berbekalkan latar belakang komunikasi media dan pengalaman dalam bidang sukan, beliau mempunyai kemahiran dalam penulisan, komunikasi, kepimpinan, pengurusan pasukan dan pengurusan acara. Beliau turut dikenali sebagai individu yang berdisiplin, proaktif, mudah menyesuaikan diri dan komited dalam menghasilkan kandungan serta melaksanakan tugasan secara profesional.
Berita berkaitan

Antara tamaknya Menteri Pasola, Kassim Baba, Mak Kundor

Perlakuan individu dalam ritual bukan Islam: Hati-hati jatuhkan tuduhan kufur
Oleh kolumnis11 Oktober 2026 pada 07:42 PG
467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG

