The Step - Every Story Moves You

Antara tamaknya Menteri Pasola, Kassim Baba, Mak Kundor

Biarpun ada yang dipersembahkan secara jenaka, ia tetap relevan sepanjang masa mengenai sikap manusia yang tidak pernah puas dengan habuan dunia.

Metra Syahril Mohamed
Oleh Metra Syahril MohamedKetua Pengarang The Step24 Oktober 2026 pada 12:00 PG2 min bacaanDikemas kini 24 Oktober 2026 pada 01:02 PTG
Watak-watak dalam filem P.Ramlee.

Watak-watak dalam filem P.Ramlee.

SAYA dan ramai juga antara kita semestinya cukup meminati karya-karya mahupun sisi lakonan Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee.

Dalam filem arahan dan juga lakonan Allahyarham, begitu sarat dengan sindiran, pengajaran dan realiti hidup manusia yang melangkaui jarak masa serta zaman.

Sehingga kini, ada sahaja lontaran pendapat mengatakan bahawa Tan Sri P. Ramlee 'dah lama cakap', 'dah lama beritahu' mengenai isu itu, isu ini yang relevan realiti semasa.

Jahatnya Menteri Pasola menerusi filem Laksamana Do Re Mi arahan Allahyarham, sehingga tamaknya si Kassim Baba (Ali Baba Bujang Lapok), mesejnya cuma satu, inilah sikap manusia, baik dahulu mahupun sekarang, semuanya tamakkan harta dan kuasa.

Begitu juga dengan sikap iri hati, dengki dan kejam Mak Kundor dalam filem Bawang Putih Bawang Merah termasuk sehingga sanggup cuba 'menghancurkan' rumah tangga Bawang Merah dan putera raja.

Melingkari hidup yang sekarang ini, biarpun sudah berpuluh-puluh tahun berlalu filem-filem arahan P. Ramlee ditayangkan, begitulah juga sikap manusia apabila tamak membisikkan naluri jahat dalam hati.

Lihat sahaja sekeliling kita dengan dihidangkan sikap-sikap manusia sedemikian, dan tak kurang situasi negara yang berdepan skandal itu skandal ini yang merosakkan sesebuah institusi.

Sebenarnya ada banyak lagi watak yang diketengahkan P. Ramlee dalam cerita-ceritanya mengenai watak tamak, iri hati dan dengki ini.

Biarpun ada yang dipersembahkan secara jenaka, ia tetap relevan sepanjang masa mengenai sikap manusia yang tidak pernah puas dengan habuan dunia.

Ini termasuk dengan watak Mak Kundor yang cukup iri dengan Bawang Merah dan ibunya, Mak Labu.

Sekali lagi, semuanya kerana tamakkan habuan dunia.

Watak-watak ini boleh dikatakan 'hidup segar' dalam dunia yang semakin kompleks kini, 'bersarang' dan 'berternak' menunggu masa 'menyerang' habuan dan mangsa.

Sebab itu kita dapat lihat bahawa manusia-manusia sebegini 'kebal' dan 'panjang usia' dalam sesebuah kehidupan.

Namun mereka lupa apa yang terjadi kepada pengakhiran Menteri Pasola dan Kassim Baba.

'Kebal' macam mana pun Menteri Pasola, kaya macam mana pun Kassim Baba, semuanya berakhir dengan penuh tragis.

Saya sebenarnya sedang mengingati diri saya juga agar usah bersikap tamak kepada dunia.

Jalani apa adanya, usah menjadi penyebab kepada runtuhnya semangat orang lain untuk meneruskan kehidupan ini.

Kepada Menteri Pasola dan Kassim Baba serta Mak Kundor, kalian memberikan satu pengajaran penting buat manusia zaman moden bahawa hidup ini akan lebih tenang jika kita pandai mengawalnya.

Paling penting usah tamak, dengki dan jahat kepada orang lain.

NOTA KAKI: Nak buat apa bisnes pun, kena buat habis baik, jangan orang dah nak masuk gaung, baru nak minta maaf, nak perbaiki kelemahan. Saya tak tuju kepada sesiapa ya...

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp
Tentang Penulis
Metra Syahril MohamedKetua Pengarang The Step, The Step | 86 siaran

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.

Lihat semua tulisan

Berita berkaitan

EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com