Perlakuan individu dalam ritual bukan Islam: Hati-hati jatuhkan tuduhan kufur
Allah SWT memerintahkan supaya berita diperiksa sebelum seseorang ditimpa mudarat akibat kesimpulan yang salah.

Mufti Wilayah Persekutuan mengajak semua pihak memberikan ruang kepada pihak berautoriti menjalankan siasatan serta mengelakkan tuduhan dan penghinaan.
PENULARAN rakaman video yang didakwa memperlihatkan seorang individu beragama Islam terlibat dalam ritual keagamaan bukan Islam telah mencetuskan kebimbangan masyarakat.
Dakwaan mengenai unsur pemujaan dan penggunaan mantera perlu disiasat dengan teliti.
Dalam masa yang sama, kecaman yang tersebar mengingatkan kita bahawa perhatian terhadap akidah mesti disertai tanggungjawab menjaga maruah manusia.
Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, semalam, wajar didukung.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak berkompromi terhadap amalan yang terbukti menyeleweng daripada akidah Islam.
Namun, penelitian dan tindakan mesti berpandukan fakta, hasil siasatan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Penegasan ini meletakkan dua tanggungjawab pada kedudukan yang tepat.
Hukum perlu dipertahankan, sementara kedudukan individu tidak boleh diputuskan berdasarkan sangkaan.
RITUAL KEAGAMAAN MEMPUNYAI MAKNA, BATAS AKIDAH
Tauhid menetapkan bahawa pengabdian dan penyembahan hanya ditujukan kepada Allah SWT.
Keyakinan ini menentukan pendirian seorang Muslim terhadap amalan yang mempunyai makna keagamaan, termasuk ritual yang dilakukan oleh penganut agama lain.
Allah SWT berfirman: "Katakanlah, sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam". – Surah al-An‘am (162).
Ayat ini menetapkan bahawa pengabdian kepada Allah SWT mempunyai batas yang jelas.
Sesuatu ritual tidak boleh dinilai daripada gerakan tubuh semata-mata.
Mantera, persembahan kepada sembahan dan perlakuan khusus dalam upacara pemujaan membawa makna yang terikat dengan kepercayaan penganutnya.
Al-Nawawi menjelaskan bahawa perbuatan tertentu boleh membawa kepada kekufuran apabila memenuhi sifat dan syarat yang ditetapkan syarak.
Oleh itu, penyertaan dalam ritual penyembahan agama lain dilarang kepada umat Islam.
Niat untuk mencuba atau mengenali budaya tidak dengan sendirinya mengharuskan perlakuan yang bercanggah dengan tauhid.
Garis panduan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Kali Ke-68 pada 12 April 2005 dan penjelasan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan pada 2025 memperincikan batas penyertaan dalam upacara keagamaan bukan Islam.
Namun, larangan terhadap sesuatu perbuatan tidak bermakna setiap individu yang didakwa melakukannya boleh terus dihukum murtad.
Penentuan tersebut menuntut penelitian terhadap hakikat perlakuan dan keadaan individu, bukan sekadar rakaman ringkas atau dakwaan yang belum disahkan.
JAGA BATAS AGAMA, HUBUNGAN MASYARAKAT
Masyarakat Malaysia menjalani kehidupan melalui hubungan kejiranan, pekerjaan, pendidikan dan kerjasama antara penganut agama.
Ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah menjelaskan bahawa manusia memerlukan kehidupan bermasyarakat kerana seseorang tidak mampu memenuhi seluruh keperluannya secara bersendirian.
Hakikat ini menuntut adab pergaulan yang matang tanpa menghapuskan prinsip kepercayaan.
Islam membenarkan umatnya berbuat baik dan berlaku adil kepada penganut agama lain yang hidup aman bersama mereka.
Al-Syatibi pula menjelaskan bahawa syariat bertujuan memelihara keperluan asas manusia, termasuk agama.
Dengan demikian, batas akidah dan keselamatan hubungan sosial perlu dipelihara secara serentak.
Perbezaan ini dapat difahami melalui maqasid al-tadayyun dan al-‘umran.
Tadayyun menuntut umat Islam memelihara tauhid serta mengenal batas antara budaya dengan ibadah.
Kekeliruan terhadap makna sesuatu ritual boleh melemahkan kefahaman agama, khususnya dalam kalangan generasi muda.
‘Umran pula menuntut hubungan sosial dibina atas keadilan dan saling menghormati.
Apabila tuduhan murtad, cercaan terhadap keluarga atau penghinaan agama lain tersebar sebelum siasatan, maka maruah manusia, kepercayaan antara komuniti dan kewibawaan institusi turut terjejas.
Jamuan sosial yang diharuskan syarak berbeza daripada pemujaan, pelafazan mantera atau penyertaan dalam ibadah agama lain.
Kehadiran dalam majlis yang mengandungi upacara keagamaan juga perlu diteliti menurut keadaan sebenar.
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan telah memperincikan larangan berhubung majlis yang mempunyai ritual agama bukan Islam.
Penjelasan mengenai sambutan Vaisakhi turut membezakan kehadiran sosial yang dibenarkan daripada penglibatan dalam upacara ritual.
Toleransi bererti menghormati hak dan maruah penganut agama lain, bukan menyamakan semua kepercayaan atau menyertai ibadah mereka.
Perbezaan ini membolehkan umat Islam hidup berjiran dan bekerjasama tanpa mengaburkan pegangan sendiri.
Ketegasan terhadap hukum juga tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina agama pihak lain.
MENJELASKAN HUKUM TANPA TERBURU-BURU MENGHUKUM
Kebimbangan terhadap penyelewengan akidah hendaklah disalurkan melalui ilmu dan tindakan yang sah.
Dalam pegangan Ahli Sunnah Waljamaah, perbuatan yang mengandungi unsur kufur perlu dibezakan daripada penetapan hukum terhadap individu tertentu.
Al-Nawawi turut membezakan dosa dengan pengingkaran terhadap perkara agama yang diketahui secara pasti.
Al-Ghazali dalam al-Iqtisad fi al-I‘tiqad mengingatkan supaya seseorang berhati-hati dalam menjatuhkan tuduhan kufur selama masih terdapat jalan yang sah untuk mengelakkannya.
Tuduhan demikian menyentuh kedudukan agama, maruah dan hubungan kekeluargaan. Ketelitian dalam menilai individu tidak bermaksud menghalalkan amalan yang jelas dilarang.
Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesiapa yang mengatakan kepada saudaranya, wahai kafir, maka tuduhan tersebut kembali kepada salah seorang daripada mereka". – Riwayat al-Bukhari.
Hadis ini menegah masyarakat daripada menjadikan tuduhan murtad sebagai reaksi spontan.
Allah SWT memerintahkan supaya berita diperiksa sebelum seseorang ditimpa mudarat akibat kesimpulan yang salah.
Islam turut melarang cercaan terhadap sembahan agama lain kerana perbuatan itu boleh mengundang penghinaan balas dan permusuhan.
Justeru, reaksi terhadap video tular perlu berpandukan fakta, menjaga maruah individu serta mengelakkan penghinaan yang mengeruhkan hubungan masyarakat.
Pendidikan akidah perlu membantu keluarga dan generasi muda membezakan adat, simbol budaya dan ritual penyembahan.
Jika timbul keraguan, maka umat Islam hendaklah merujuk Jabatan Mufti negeri atau pihak berkuasa agama yang berkaitan sebelum menyertai sesuatu amalan.
Bimbingan yang jelas akan menjaga keyakinan agama sambil mendidik masyarakat menghormati perbezaan.
Dalam isu tular penglibatan individu dalam ritual keagamaan bukan Islam, pendirian Menteri Agama yang menegaskan penjagaan akidah serta siasatan berasaskan fakta wajar disokong.
Maqasid al-tadayyun menuntut umat Islam mempertahankan tauhid melalui ilmu dan kepatuhan kepada syarak.
Maqasid al-‘umran pula menuntut proses yang adil agar maruah individu, keharmonian antara komuniti dan keyakinan terhadap institusi terus terpelihara.
Masyarakat sewajarnya memberikan ruang kepada pihak berautoriti menjalankan siasatan serta mengelakkan tuduhan dan penghinaan.
Akidah yang teguh tidak menuntut permusuhan terhadap penganut agama lain.
Keharmonian juga tidak mengizinkan batas ibadah dipandang ringan. Kedua-duanya perlu dijaga dengan ilmu, ketegasan dan hikmah.
Wallahu a‘lam.
OLEH: MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN, SAHIBUS SAMAHAH AHMAD FAUWAZ FADZIL
Berita berkaitan

Antara tamaknya Menteri Pasola, Kassim Baba, Mak Kundor

‘Suami jangan buat tak tahu, isteri juga ada had kesabaran’ – Dr Hisham

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG

