Belanjawan 2027: Jangan sekadar bina pusat data! Bina gaji, produktiviti rakyat
Persoalannya, apabila Malaysia mempercepat pelaburan dalam AI, apakah nilai ekonomi yang benar-benar akan tinggal kepada rakyat Malaysia?

Gaji minimum kini RM1,700 sebulan, berbanding RM1,200 sebelum Mei 2022.
MALAYSIA sedang memasuki fasa baharu ekonomi digital.
Kecerdasan buatan (AI) bukan lagi sekadar isu teknologi, tetapi semakin menjadi sebahagian daripada strategi pertumbuhan ekonomi, produktiviti dan pasaran buruh.
Persoalannya, apabila Malaysia mempercepat pelaburan dalam AI, apakah nilai ekonomi yang benar-benar akan tinggal kepada rakyat Malaysia?
Persoalan ini menjadi semakin penting menjelang Belanjawan 2027, khususnya apabila Kenyataan Pra-Belanjawan 2027 meletakkan AI dan pendigitalan sebagai antara keutamaan untuk membina ekonomi yang lebih kompleks dan bernilai tinggi.
Pada masa yang sama, dokumen tersebut turut menegaskan keperluan meningkatkan produktiviti, membangunkan bakat berkemahiran tinggi serta memastikan peningkatan taraf industri diterjemahkan kepada gaji yang lebih baik.
Malah, portal rasmi Cadangan Belanjawan 2027 sendiri menyenaraikan 'TVET & pekerjaan berkualiti', 'syarikat berdaya saing & Made by Malaysia', serta 'pertumbuhan melalui pelaburan dan pekerjaan bernilai tinggi' sebagai bidang fokus.
Ini menunjukkan persoalan utama bukan lagi sama ada Malaysia mahu menggunakan AI, tetapi bagaimana manfaat ekonomi daripada AI diterjemahkan kepada pekerjaan, kemahiran, pemilikan teknologi dan pendapatan rakyat?
AI TAK HARUS DIUKUR MELALUI JUMLAH PELABURAN
Dalam perbincangan mengenai AI, kejayaan ekonomi sering dikaitkan dengan jumlah pelaburan teknologi, pembinaan pusat data atau kemasukan syarikat teknologi antarabangsa.
Namun, dari perspektif ekonomi, jumlah pelaburan semata-mata belum cukup untuk menentukan sama ada rakyat memperoleh manfaat yang besar.
Persoalan yang lebih penting ialah: Berapa banyak nilai tambah yang diwujudkan di Malaysia? Berapa banyak pekerjaan bernilai tinggi yang diwujudkan? Berapa tinggi produktiviti pekerja meningkat? Dan akhirnya, sejauh mana peningkatan produktiviti itu diterjemahkan kepada pertumbuhan gaji?
Inilah yang menjadikan kenyataan dalam Pra-Belanjawan 2027 mengenai gaji dan produktiviti amat signifikan.
Kerajaan menyatakan bahawa peningkatan taraf industri perlu diterjemahkan kepada produktiviti buruh yang lebih tinggi, gaji yang lebih baik dan mobiliti pekerja yang lebih luas, manakala pertumbuhan gaji yang mampan perlu disokong oleh peningkatan produktiviti.
Dengan kata lain, AI tidak sepatutnya berhenti pada tahap 'Malaysia membeli teknologi'.
AI perlu bergerak kepada 'Malaysia menghasilkan nilai ekonomi melalui teknologi'.
Ini penting kerana skala ekonomi digital Malaysia sebenarnya sudah besar.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa ICT dan e-dagang menyumbang 23.4% kepada ekonomi Malaysia pada 2024, bersamaan RM451.3 bilion.
Industri ICT pula menggaji sekitar 1.25 juta orang, iaitu 7.6% daripada jumlah pekerjaan negara.
Angka ini menunjukkan ekonomi digital bukan lagi sektor kecil atau sampingan — ia sudah menjadi sebahagian penting daripada struktur ekonomi Malaysia.
CABARAN SETERUSNYA NILAI TAMBAH
Data semasa menunjukkan asas produktiviti Malaysia sedang bertambah baik.
Menurut DOSM, pada suku pertama 2026, produktiviti buruh berdasarkan nilai ditambah per jam bekerja meningkat 4.8% kepada RM45.50 sejam.
Produktiviti berdasarkan nilai ditambah per pekerja pula meningkat 4.3% kepada RM26,171 seorang.
Ini memberikan satu asas penting kepada agenda AI. Secara ekonomi, rantaian yang diharapkan ialah:
AI → produktiviti meningkat → nilai tambah meningkat → pekerjaan bernilai tinggi → gaji meningkat → kuasa beli meningkat.
Namun, rantaian ini tidak berlaku secara automatik.
Sekiranya syarikat menggunakan AI untuk meningkatkan keuntungan tetapi pekerja tidak memperoleh peningkatan kemahiran, produktiviti dan gaji yang sepadan, maka manfaat AI mungkin lebih tertumpu kepada pemilik modal berbanding tenaga kerja.
Sebab itu, ukuran kejayaan AI tidak wajar hanya berdasarkan berapa banyak syarikat menggunakan AI.
Ukuran yang lebih bermakna ialah berapa banyak nilai ekonomi tambahan yang dihasilkan dan bagaimana nilai tersebut diagihkan antara modal, pekerja dan ekonomi domestik.
Persoalan ini menjadi lebih jelas apabila kita melihat angka gaji.
DOSM merekodkan median gaji bulanan pekerja sektor formal sebanyak RM3,027 pada Mac 2026, melibatkan kira-kira 7.05 juta pekerja formal.
Ini bermakna cabaran Malaysia bukan sekadar mencipta pekerjaan digital, tetapi memastikan peningkatan produktiviti dan teknologi akhirnya menghasilkan pertumbuhan pendapatan yang dirasai oleh sebahagian besar tenaga kerja.
Dengan kata lain, ukuran yang lebih menarik untuk Belanjawan 2027 ialah bukan sekadar 'berapa banyak pelaburan AI masuk?', tetapi 'berapa besar peningkatan pendapatan pekerja yang dapat dikaitkan dengan peningkatan produktiviti hasil AI?'
GAJI TINGGI TANPA PRODUKTIVITI: MAMPUKAH BERTAHAN?

Isu ini juga mempunyai hubungan langsung dengan persoalan gaji.
Pra-Belanjawan 2027 menyatakan bahawa Agenda Gaji Bermaruah terus diberi keutamaan.
Gaji minimum kini RM1,700 sebulan, berbanding RM1,200 sebelum Mei 2022.
Dalam masa yang sama, kerajaan mengaitkan pertumbuhan gaji mampan dengan peningkatan produktiviti.
Di sinilah AI boleh memainkan peranan yang lebih besar. Jika AI membolehkan seorang pekerja menghasilkan output yang lebih tinggi dalam tempoh yang sama, maka nilai tambah per pekerja meningkat.
Keadaan ini memberikan asas ekonomi yang lebih kukuh kepada peningkatan gaji.
Sebaliknya, jika gaji meningkat tetapi produktiviti tidak berubah, firma khususnya yang berintensifkan buruh mungkin berhadapan peningkatan kos operasi.
Sebahagian kos tersebut boleh diserap melalui keuntungan, sebahagian lagi melalui peningkatan kecekapan, automasi atau dalam keadaan tertentu diterjemahkan kepada harga yang lebih tinggi.
Oleh itu, cabaran dasar bukan sekadar 'bagaimana hendak menaikkan gaji?', tetapi 'bagaimana hendak menaikkan produktiviti supaya ekonomi mampu membayar gaji yang lebih tinggi secara mampan?'
Data DOSM memberikan satu lagi petunjuk penting, pada Disember 2025, median gaji sektor formal ialah RM3,167, manakala 10% pekerja formal terbawah menerima RM1,700 atau kurang dan pekerja pada persentil ke-90 menerima sekurang-kurangnya RM11,122.
Jurang ini menunjukkan bahawa agenda AI dan produktiviti perlu dinilai bukan sahaja melalui pertumbuhan purata, tetapi juga melalui sejauh mana manfaat teknologi sampai kepada pekerja berpendapatan rendah dan sederhana.
GAJI TINGGI TETAPI KUASA BELI RENDAH
Satu lagi dimensi yang tidak boleh diabaikan ialah kuasa beli.
Kenaikan gaji nominal tidak semestinya bermaksud peningkatan taraf hidup yang sama besar.
Jika gaji meningkat tetapi harga barangan dan perkhidmatan turut meningkat, peningkatan gaji benar mungkin lebih kecil.
Setakat Jun 2026, inflasi Malaysia berada pada 1.9%, manakala kadar pengangguran pada suku pertama 2026 ialah 2.9%.
Maka, kejayaan dasar gaji dan AI akhirnya perlu dilihat melalui hubungan:
Gaji nominal → inflasi → gaji benar → kuasa beli → taraf hidup.
Jika AI benar-benar meningkatkan produktiviti ekonomi, manfaatnya sepatutnya dapat diterjemahkan bukan sahaja kepada keuntungan firma, tetapi juga kepada gaji benar yang lebih tinggi dan kuasa beli yang lebih kukuh.
TVET, AI BUKAN LAGI PILIHAN TAMBAHAN
Pra-Belanjawan 2027 juga memberikan penekanan kepada pengembangan TVET yang diterajui industri, perantisan, latihan semula, literasi AI, keupayaan digital dan pembelajaran sepanjang hayat untuk pekerja serta PMKS.
Penglibatan majikan dalam kurikulum, peralatan latihan dan penempatan pekerjaan turut akan dipergiat.
Pendekatan ini penting kerana masalah AI bukan semata-mata kekurangan teknologi.
Ia juga merupakan masalah modal insan. Jika teknologi berubah lebih pantas daripada kemahiran pekerja, akan wujud jurang antara pekerjaan yang diperlukan industri dengan kemahiran yang dimiliki tenaga kerja.
Justeru, peruntukan pendidikan dan latihan dalam Belanjawan 2027 perlu dilihat sebagai pelaburan produktiviti, bukannya sekadar perbelanjaan sosial.
Seorang pekerja yang mendapat latihan AI, data, automasi atau kemahiran digital berpotensi menghasilkan nilai tambah yang lebih tinggi.
Apabila nilai tambah meningkat, keupayaan firma untuk membayar gaji lebih tinggi juga berpotensi meningkat.
Malah, Belanjawan 2026 telah mencadangkan potongan cukai tambahan 50% bagi kos latihan AI yang diiktiraf untuk PMKS, bagi tempoh permohonan 2026 hingga 2027.
Ini menunjukkan bahawa latihan AI sudah mula dilihat sebagai instrumen dasar ekonomi.
Persoalan untuk Belanjawan 2027 ialah bagaimana mengukur keberkesanannya, berapa ramai pekerja dilatih, berapa banyak kemahiran digunakan selepas latihan dan adakah produktiviti serta gaji mereka benar-benar meningkat?
PMKS TAK BOLEH TERCICIR DALAM REVOLUSI AI
Satu lagi persoalan ialah siapa yang mampu menggunakan AI?
Syarikat besar lazimnya mempunyai lebih banyak sumber untuk membeli sistem digital, mendapatkan kepakaran teknologi dan melatih pekerja.
Sebaliknya, PMKS mungkin berdepan kekangan modal, kemahiran dan kos penyesuaian.
Jika hanya syarikat besar berjaya mengadaptasi AI, produktiviti ekonomi mungkin meningkat secara tidak sekata.
Sebab itu, Pra-Belanjawan 2027 turut memberi perhatian kepada peningkatan daya saing perniagaan melalui automasi dan AI serta pendigitalan dan akses pembiayaan PMKS.
Belanjawan 2027 boleh mengambil pendekatan yang lebih berasaskan hasil, sokongan kepada AI bukan hanya diberikan kerana sesebuah firma membeli teknologi, tetapi dikaitkan dengan peningkatan produktiviti, latihan pekerja, penciptaan pekerjaan berkualiti dan peningkatan nilai tambah domestik.
DARIPADA MADE IN MALAYSIA KEPADA MADE BY MALAYSIA
Salah satu perkara menarik dalam agenda Pra-Belanjawan 2027 ialah aspirasi untuk menghasilkan produk, teknologi dan harta intelek yang direka, dibangunkan dan dimiliki rakyat Malaysia.
Ini mempunyai implikasi besar terhadap ekonomi AI.
Malaysia boleh menjadi lokasi pusat data, pusat pengkomputeran dan operasi teknologi global.
Tetapi dari perspektif nilai tambah, persoalan seterusnya ialah: Adakah Malaysia hanya menjadi tempat teknologi beroperasi, atau Malaysia turut memiliki teknologi tersebut?
Jika teknologi AI, syarikat, paten, algoritma dan harta intelek utama masih dimiliki di luar negara, sebahagian besar nilai ekonomi mungkin terus mengalir keluar.
Sebaliknya, jika lebih banyak syarikat Malaysia membangunkan dan memiliki teknologi sendiri, nilai tambah, keuntungan, pekerjaan berkemahiran tinggi dan peluang inovasi berpotensi menjadi lebih besar dalam ekonomi domestik.
Angka pelaburan digital menunjukkan betapa besar peluang tersebut.
Menurut MIDA, projek pelaburan digital yang diluluskan bagi tempoh 2021–2025 mencapai RM425.7 bilion, dengan infrastruktur digital seperti pusat data, pengkomputeran awan dan pengehosan data menjadi pemacu utama.
Persoalannya menjadi lebih besar, daripada RM425.7 bilion tersebut, berapa banyak nilai yang akhirnya menghasilkan syarikat teknologi milik Malaysia, paten tempatan, R&D, pekerjaan berkemahiran tinggi dan eksport perkhidmatan digital dari Malaysia?
PUSAT DATA: BERAPA BANYAK PEKERJAAN?
Inilah salah satu angka yang wajar diberi perhatian khusus dalam Belanjawan 2027.
MIDA melaporkan bahawa antara 2021 hingga 2023, Malaysia menarik RM115 bilion pelaburan daripada pemain pusat data, yang dijangka menghasilkan 2,325 pekerjaan bernilai tinggi apabila projek-projek tersebut beroperasi.
Kapasiti gabungan pusat data yang komited ketika itu dijangka mencapai 3,200MW.
Secara kasar, RM115 bilion dibahagikan dengan 2,325 pekerjaan bersamaan kira-kira RM49.5 juta pelaburan bagi setiap pekerjaan yang dijangka diwujudkan.
Angka ini bukan ukuran produktiviti atau kos sebenar mencipta pekerjaan kerana pelaburan pusat data turut menghasilkan kesan ekonomi lain, tetapi ia memberikan satu soalan dasar yang sangat penting, jika modal yang diperlukan begitu besar, apakah nilai tambah lain yang Malaysia mesti pastikan turut tercipta?
Jawapannya perlu melangkaui jumlah pekerjaan.
Ia termasuk rantaian bekalan tempatan, penggunaan vendor Malaysia, latihan bakat, pemindahan teknologi, R&D, penggunaan tenaga boleh baharu, hasil cukai dan peluang kepada PMKS tempatan.
Dengan kata lain, persoalan kita bukan 'adakah Malaysia berjaya menarik pusat data?' — angka pelaburannya sudah menunjukkan bahawa kita berjaya menarik modal berskala besar.
Persoalan yang lebih penting ialah 'berapa banyak nilai daripada pusat data itu yang benar-benar berakar di Malaysia?'
APA YANG TINGGAL DI MALAYSIA
Pra-Belanjawan 2027 juga menekankan supaya pelaburan menghasilkan rantaian bekalan tempatan, meningkatkan produktiviti, mewujudkan pekerjaan berkualiti serta menggalakkan pemindahan teknologi dan pengkomersialan R&D.
Ini penting untuk mengubah cara kita menilai pelaburan AI bukan sekadar 'berapa banyak pelaburan masuk?'
Tetapi, 'berapa banyak nilai tambah yang kekal dalam ekonomi Malaysia?'
Dan, 'berapa banyak rakyat Malaysia memperoleh pekerjaan bernilai tinggi daripada pelaburan tersebut?'
Pendekatan berasaskan hasil seperti ini lebih selari dengan matlamat Pra-Belanjawan 2027 untuk menjadikan pertumbuhan ekonomi lebih berasaskan produktiviti dan bernilai tinggi.
Malah, prestasi pelaburan 2025 menunjukkan skala peluang ini semakin besar.
Malaysia merekodkan RM426.7 bilion pelaburan diluluskan pada 2025, termasuk RM152.9 bilion dalam subsektor maklumat dan komunikasi yang didorong oleh AI, pusat data, big data dan pengkomputeran awan.
MIDA menjangkakan pelaburan diluluskan keseluruhan itu menghasilkan 244,902 pekerjaan baharu.
Justeru, Belanjawan 2027 mempunyai peluang untuk mengubah KPI pelaburan daripada sekadar 'nilai pelaburan diluluskan' kepada ukuran yang lebih bermakna, nilai tambah domestik, gaji median pekerjaan baharu, bilangan pekerja tempatan berkemahiran tinggi, nilai perolehan daripada syarikat tempatan, R&D, paten dan eksport teknologi.
BINA MANUSIA, BUKAN HANYA MESIN
Akhirnya, cabaran sebenar AI kepada Malaysia bukan sama ada kita mahu menggunakan AI atau tidak.
Persoalannya ialah bagaimana AI digunakan untuk mengubah struktur ekonomi Malaysia.
Pra-Belanjawan 2027 sudah memberikan beberapa petunjuk penting, AI dan pendigitalan, produktiviti, TVET, latihan semula, pekerjaan bernilai tinggi, gaji bermaruah, automasi, PMKS, pemindahan teknologi dan R&D perlu bergerak dalam satu rangka yang sama.
Maka, Belanjawan 2027 perlu memastikan wujud rantaian ekonomi yang jelas:
Pelaburan AI → peningkatan produktiviti → peningkatan nilai tambah → pekerjaan bernilai tinggi → pertumbuhan gaji → peningkatan gaji benar → kuasa beli rakyat.
Tetapi satu lagi mata rantai perlu ditambah:
Pelaburan AI → R&D tempatan → pemilikan harta intelek → syarikat Malaysia → eksport teknologi → nilai kekal dalam ekonomi Malaysia.
Jika rantaian ini berjaya dibina, AI bukan sekadar menjadi simbol kemajuan teknologi.
Ia boleh menjadi instrumen untuk mengubah struktur ekonomi Malaysia kepada ekonomi yang lebih produktif, berkemahiran tinggi dan bernilai tambah.
Sebaliknya, jika AI hanya menghasilkan lebih banyak pusat data, penggunaan teknologi dan pelaburan modal tanpa peningkatan ketara dalam produktiviti pekerja, pemilikan teknologi, pekerjaan berkualiti dan gaji benar, maka manfaat ekonominya perlu dinilai dengan lebih berhati-hati.
Malaysia kini berdepan satu paradoks, kita sedang menarik pelaburan digital pada skala yang sangat besar, tetapi ukuran kejayaan sebenar bukan saiz bangunan pusat data atau jumlah modal yang diumumkan.
Ukuran sebenar ialah berapa banyak rakyat Malaysia yang menjadi lebih produktif, berkemahiran tinggi dan menerima pendapatan lebih baik hasil daripada pelaburan tersebut.
Inilah sebabnya angka RM451.3 bilion sumbangan ICT kepada ekonomi pada 2024, RM425.7 bilion pelaburan digital yang diluluskan bagi 2021–2025 dan RM115 bilion pelaburan pusat data antara 2021–2023 perlu dibaca bersama-sama dengan angka gaji median pekerja.
Tanpa hubungan antara pelaburan, produktiviti dan pendapatan, kita hanya tahu berapa besar ekonomi digital berkembang — tetapi belum semestinya tahu berapa besar manfaatnya sampai kepada rakyat.
Justeru, ukuran kejayaan Belanjawan 2027 bukan sekadar berapa banyak AI yang Malaysia bina, tetapi berapa banyak produktiviti, nilai tambah, pekerjaan berkualiti, pemilikan teknologi dan kuasa beli yang berjaya dicipta untuk rakyat.
Malaysia tidak seharusnya hanya menjadi negara yang menyediakan tanah, elektrik dan infrastruktur untuk ekonomi AI dunia.
Malaysia perlu menjadi negara yang memiliki sebahagian daripada teknologi, bakat, syarikat, harta intelek dan nilai ekonomi yang lahir daripada revolusi AI.
AI boleh menjadi enjin pertumbuhan Malaysia. Tetapi persoalan paling penting untuk Belanjawan 2027 ialah, apabila enjin itu semakin besar dan semakin berkuasa, adakah rakyat Malaysia juga akan bergerak lebih jauh bersamanya?
.jpeg&w=3840&q=75)
Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd Naseem Niaz Ahmad, Program Ekonomi, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


