‘Jangan tunggu seseorang rebah baru mahu bertanya khabar’ – Dr Hisham
Program anjuran Jabatan Sumber Manusia LPPSA itu turut menekankan kepentingan menjaga kesejahteraan emosi dan mengurus tekanan dalam kehidupan seharian.


Pakar terapi emosi, Dr Hisham Dzakiria menegaskan sikap mengambil berat tidak semestinya memerlukan tindakan besar.
MASYARAKAT perlu lebih peka terhadap keadaan emosi individu di sekeliling, termasuk rakan sekerja yang kelihatan ceria, kerana mereka mungkin sedang memendam tekanan dan masalah yang tidak diketahui orang lain.
Pakar terapi emosi, Dr Hisham Dzakiria menegaskan sikap mengambil berat tidak semestinya memerlukan tindakan besar.




Katanya, kita boleh mulakan dengan perkara mudah seperti bertanya khabar dan memberikan ruang kepada seseorang untuk berkongsi masalah.
“Kadang-kadang orang yang paling banyak tersenyum ialah orang yang paling banyak menyimpan sesuatu dalam dirinya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perkongsian bertajuk Di Sebalik Kecelaruan: Mencari Tenang Dalam Diri kepada 100 kakitangan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) di Putrajaya, pada Khamis.
Program anjuran Jabatan Sumber Manusia LPPSA itu turut menekankan kepentingan menjaga kesejahteraan emosi dan mengurus tekanan dalam kehidupan seharian.
Dalam perkongsian tersebut, Dr Hisham turut mengajak peserta menilai semula makna kebahagiaan dan perkara yang menjadi keutamaan dalam kehidupan.
“Setiap individu perlu mengenal pasti perkara yang benar-benar memberikan kebahagiaan.
“Dalam masa yang sama, perlu menilai pengorbanan yang terpaksa dilakukan untuk mencapainya.
“Sekiranya sesuatu yang dikejar mula menjejaskan diri, hubungan, ketenangan atau kehidupan seharian, individu berkenaan perlu mempertimbangkan semula sama ada ia berbaloi untuk diteruskan atau tidak,” katanya.



Jelasnya, pemikiran, emosi dan tindakan saling berkait, manakala keputusan yang dibuat ketika seseorang berada dalam keadaan tertekan boleh memberikan kesan berpanjangan terhadap diri sendiri serta orang di sekeliling.
Sehubungan itu, setiap individu perlu belajar mengurus emosi dan mempertimbangkan kesan sesuatu tindakan sebelum membuat keputusan.







Dalam masa sama, budaya saling mengambil berat di tempat kerja perlu diperkukuh supaya individu yang berdepan masalah berasa lebih selamat untuk berkongsi kesukaran dan mendapatkan sokongan.
Bukan hanya sesi merawat jiwa, semua kakitangan LPPSA yang terlibat turut dihiburkan dengan persembahan istimewa penyanyi Ayu Damit.
Ayu membawa tiga buah lagu iaitu Hanya Di Mercu, Original Sabah dan Yang Penting Happy.
Bagi organisasi atau pihak yang berminat menganjurkan program seumpama ini, boleh menghubungi Healing Centre, Dr Hisham Dzakiria menerusi talian 03-3359 1329 atau WhatsApp ke 010-841 898 untuk pertanyaan lanjut.

Muhamad Nur Hakim bin Rosli merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta atlet Silat UKM yang aktif mewakili universiti dalam pelbagai kejohanan, termasuk Kejohanan MASUM Terengganu dengan pencapaian pingat gangsa. Berbekalkan latar belakang komunikasi media dan pengalaman dalam bidang sukan, beliau mempunyai kemahiran dalam penulisan, komunikasi, kepimpinan, pengurusan pasukan dan pengurusan acara. Beliau turut dikenali sebagai individu yang berdisiplin, proaktif, mudah menyesuaikan diri dan komited dalam menghasilkan kandungan serta melaksanakan tugasan secara profesional.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


