Usaha 'padam' PN tak akan mematahkan tekad parti – Dr. Sam
Bersyukur atas keputusan itu, beliau turut menegaskan PN tetap teguh dan perjuangan parti akan diteruskan.


Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
USAHA pihak yang mahu 'memadamkan' Perikatan Nasional (PN) tidak akan mematahkan tekad parti, terutama tumpuan penuh kini diberikan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Demikian ditegaskan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar susulan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan PN menggantung notis pembatalan pendaftaran gabungan itu yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dua hari lalu.
Bersyukur atas keputusan itu, beliau turut menegaskan PN tetap teguh dan perjuangan parti akan diteruskan.
"Alhamdulillah, kita bersyukur atas keputusan Mahkamah Tinggi hari ini menggantung notis RoS berhubung pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional.
"Pendirian PN jelas. Kita berada pada landasan yang benar dalam mempertahankan hak melalui saluran undang-undang. Usaha pihak yang mahu memadamkan PN tidak akan mematahkan tekad kita. PN tetap teguh dan perjuangan ini akan diteruskan," jelasnya.
Beliau turut berterima kasih kepada semua atas doa, sokongan dan kesabaran, serta pasukan peguam atas usaha gigih mereka.
"Kita terus menghormati proses undang-undang yang berjalan dan akan mempertahankan hak kita dengan tegas.
"Kini, seluruh jentera mesti memberikan tumpuan penuh kepada PRN Melaka. Perkukuh persiapan, eratkan kerjasama dan bawa tawaran terbaik untuk rakyat. Kita terus mara," katanya.
Terdahulu Hakim Datuk Azizan Md Arshad memutuskan penggantungan notis itu sehingga prosiding semakan kehakiman didengar.
Dengan keputusan itu, PN boleh bertanding dan menggunakan logo pada PRN Melaka.
Ketika membaca keputusan itu, Azizan berkata mahkamah mendapati wujud keadaan luar biasa yang mewajarkan penangguhan diberikan, khususnya potensi kemudaratan terhadap aktiviti politik PN serta penyertaannya dalam PRN.

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.
Berita berkaitan

Agihan kerusi tanpa rundingan langgar semangat konsensus: MCA




