Akmal Saleh dicalonkan semula kerusi DUN Merlimau
Dalam hantaran di Facebook, beliau melahirkan rasa syukur kerana 'masih kekal (diberi kepercayaan untuk bertanding) di (kerusi DUN) Merlimau.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.
BIARPUN berdepan dugaan politik susulan kalah dalam kes saman fitnah dan diperintahkan membayar ganti rugi serta kos keseluruhan RM300,000, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh terus diberi kepercayaan oleh parti untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Diumumkan untuk kekal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, ia pastinya 'medan' balas dendam beliau untuk mempertahan kerusi yang dimenangi pada PRN Melaka 2021.
Beliau menang kerusi itu dengan memperoleh 5,633 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Azrin Ab Majid yang mendapat 2,385 undi dan calon Perikatan Nasional (PN), Abd Alim Shapie dengan 1,622 undi.
Kemenangan itu menyaksikan Dr Muhamad Akmal memperoleh majoriti 3,248 undi.
Dalam hantaran di Facebook, beliau melahirkan rasa syukur kerana 'masih kekal (diberi kepercayaan untuk bertanding) di (kerusi DUN) Merlimau.
"Alhamdulilah, alhamdulilah, alhamdulilah. Masih kekal di Merlimau. Mohon sokongan, bantuan dan doa semua. Anak kampung untuk orang kampung," tulisnya ringkas.
Sementara itu, penyandang kerusi (DUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy bin Abdul Halem diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi mewakili kawasan itu.
Datuk Rais Yasin pula diumumkan sebagai calon BN bagi DUN N11 Sungai Udang.
Terdahulu Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jentera dan penyokong BN perlu menerima rakan politik baharu serta membantu calon mereka memenangi PRN Melaka kali ini.
Beliau berkata, sokongan timbal balik antara BN dan rakan strategiknya mampu membuka laluan lebih cerah ke Putrajaya.
"Dahulu, kita alah melihat warna hijau. Mereka juga alah melihat warna biru. Mulai malam ini, jangan lagi alah. Hijau sudah menerima biru. Biru mesti menerima hijau," katanya ketika melancarkan jentera pilihan raya BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Dalam pada itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh akan mempertahankan kerusi DUN Tanjung Bidara yang dimenanginya sebelum ini.
Berita berkaitan

Agihan kerusi tanpa rundingan langgar semangat konsensus: MCA




