‘Perikatan Nasional kembali, PN is back' – Takiyuddin
Antara hujahan yang dibangkitkan pasukan peguam PN dalam prosiding itu adalah berhubung dakwaan pembatalan pendaftaran gabungan berkenaan dilakukan secara tidak sah.

“Bangga dan syukur. Bersama kita ada 15 orang yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam proses prosiding semakan kehakiman hari ini' - Takiyuddin
“PERIKATAN Nasional kembali, PN is back.”
Itu laungan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan gabungan itu untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan pembatalan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Takiyuddin berkata, beliau bersyukur apabila seramai 15 peguam mewakili PN dalam prosiding semakan kehakiman berkenaan, diketuai bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.
“Bangga dan syukur. Bersama kita ada 15 orang yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam proses prosiding semakan kehakiman hari ini.
“The Magnificent 15. Peguam-peguam kita diketuai oleh bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun,” katanya.
Beliau turut mendedahkan antara hujahan yang dibangkitkan pasukan peguam PN dalam prosiding itu adalah berhubung dakwaan pembatalan pendaftaran gabungan berkenaan dilakukan secara tidak sah.
“Tadi ada satu suasana yang menyelubungi kami dalam mahkamah, iaitu dibangkitkan pengharaman Perikatan Nasional adalah dibuat melalui satu pembatalan yang haram atau illegal cancellation.
“Itulah antara penghujahan para peguam kita,” katanya.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azizan Md Arshad, membenarkan permohonan PN untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan berkenaan sementara menunggu penyelesaian permohonan semakan kehakimannya.
Hakim mendapati terdapat keadaan luar biasa yang mewajarkan pemberian relif interim kepada gabungan itu.
Mahkamah turut memutuskan bahawa keputusan RoS membatalkan pendaftaran PN pada 20 Oktober lalu tidak secara automatik menjadikan permohonan penangguhan berkenaan tidak lagi relevan.
Mengulas perkembangan itu, Takiyuddin menegaskan bahawa PN kembali dengan laungan “PN is back”, susulan keputusan mahkamah yang membenarkan permohonan penangguhan tersebut.
Berita berkaitan

Agihan kerusi tanpa rundingan langgar semangat konsensus: MCA




