Agihan kerusi tanpa rundingan langgar semangat konsensus: MCA
Pada masa yang sama, semua enam Bahagian MCA Negeri Melaka turut sebulat suara menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan muktamad yang dibuat oleh kepimpinan pusat parti.


Majlis pelancaran jentera dan pengumuman calon BN dalam PRN Melaka.
TINDAKAN Barisan Nasional (BN) Melaka membuat keputusan berhubung agihan kerusi tanpa sebarang rundingan terlebih dahulu dan tanpa persetujuan MCA sebagai parti komponen adalah sesuatu yang sama sekali tidak dapat diterima.
Menurut MCA, perbuatan tersebut telah melanggar semangat konsensus yang selama ini menjadi amalan BN.
Sehubungan itu, MCA akan terus mempertahankan prinsip, pendirian dan maruah parti, serta menegaskan bahawa semua pemimpin dan parti komponen BN bertanggungjawab untuk memelihara semangat serta asas perjuangan asal BN.

"Pada 23 Oktober, pukul 9.33 malam, Setiausaha Eksekutif BN, Datuk Mohamad Sahfri telah mengesahkan kepada Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong bahawa majlis pada malam 24 Oktober hanyalah Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional dan tiada pengumuman calon.
"Namun, dalam majlis tersebut, pengumuman calon telah dibuat secara mengejut," jelas MCA dalam kenyataan.
MCA menambah, pada masa yang sama, semua enam Bahagian MCA Negeri Melaka turut sebulat suara menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan muktamad yang dibuat oleh kepimpinan pusat parti.
Jelasnya, dua penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Wira Lim Ban Hong dan Datuk Ngwe Hee Sem juga setuju untuk akur kepada keputusan parti serta terus berdiri teguh bersama parti dalam mempertahankan hak dan maruah MCA.

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.
Berita berkaitan





