The Step - Every Story Moves You

PN akan cabar kesahihan perintah pembatalan pendaftaran parti

PN berpandangan bahawa masa dan urutan tindakan ini menimbulkan persoalan serius tentang unsur mala fide serta tujuan politiknya.

Metra Syahril Mohamed
Oleh Metra Syahril MohamedKetua Pengarang The Step20 Oktober 2026 pada 12:45 PTG3 min bacaanDikemas kini 20 Oktober 2026 pada 07:40 PTG
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

PERIKATAN Nasional (PN) akan mencabar kesahihan perintah pembatalan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan memohon pelaksanaan serta segala kesan keputusan itu ditangguhkan sementara menunggu penentuan mahkamah.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, untuk itu pihaknya menggesa Peguam Negara menjelaskan tindakan tersebut berhubung pendirian jabatannya di mahkamah semasa pendengaran permohonan penangguhan PN pada 22 Oktober ini.

PN katanya, akan turut mengambil tindakan atas semua pihak yang menghina dan membelakangkan proses mahkamah ini.

"Pada hari ini, 20 Oktober, RoS telah membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN), hanya dua hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadualkan mendengar permohonan PN untuk menangguhkan tindakan RoS mengeluarkan notis ketidakpatuhan dan menggantung semua aktiviti PN.

"Keputusan untuk bertindak sebelum pendengaran tersebut menimbulkan persoalan serius tentang tujuan penggunaan kuasa ini dan penghormatan kerajaan terhadap proses kehakiman.

"Pada 6 Oktober lalu, RoS menyatakan bahawa isu-isu yang dibangkitkan PN akan dijawab di mahkamah. Pada 13 Oktober lepas, mahkamah memberikan kebenaran semakan kehakiman dan menetapkan pendengaran penangguhan pada 22 Oktober ini setelah Jabatan Peguam Negara menegaskan keperluan pendengaran secara inter partes," jelasnya.

Beliau berkata, permintaan bertulis PN pada 14 Oktober supaya tiada tindakan lanjut diambil sementara menunggu pendengaran tidak dijawab, manakala hujahan Peguam Negara pada 19 Oktober menyatakan proses pembatalan 'masih berjalan', tanpa memaklumkan pembatalan akan dibuat keesokan harinya.

Katanya, RoS sendiri menyatakan bahawa isu ini akan dijawab di mahkamah, manakala Jabatan Peguam Negara menuntut pendengaran secara dua pihak.

Namun jelasnya, sebelum pendengaran berlangsung, pendaftaran PN dibatalkan sehingga keadaan yang menjadi pokok pertikaian berubah secara mendasar.

"Kerajaan yang menghormati kedaulatan undang-undang sepatutnya memberikan ruang kepada mahkamah untuk memutuskan permohonan tersebut, dan menjelaskan mengapa tempoh dua hari pun tidak dapat ditunggu.

"PN berpandangan bahawa masa dan urutan tindakan ini menimbulkan persoalan serius tentang unsur mala fide serta tujuan politiknya.

"Notis RoS dikeluarkan pada 22 September, ketika pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka diumumkan, disusuli penggantungan keesokan harinya dan pembatalan hanya sebelas hari sebelum penamaan calon.

"Alasan berhubung mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai juga bercanggah dengan pendirian bertulis RoS pada tarikh tersebut bahawa jabatannya 'tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan', sedangkan jawapan terperinci PN ditolak sebagai 'tidak memuaskan' tanpa alasan substantif," tegasnya.

Takiyuddin berkata, pembatalan ini membawa kesan terhadap jutaan rakyat yang memberikan mandat kepada PN dan parti-parti anggotanya, selain menjejaskan kegiatan politik, harta parti dan kedudukan pemegang jawatan.

Jelas beliau, kuasa pentadbiran yang mempunyai implikasi sebesar ini terhadap pilihan rakyat dan proses demokrasi tidak seharusnya digunakan tanpa alasan yang jelas serta penghormatan terhadap penelitian kehakiman yang sedang berlangsung.

"PN mengecam tindakan ini sebagai usaha mendahului pertimbangan mahkamah dan melemahkan lawan politik menjelang pilihan raya Melaka. Sebuah kerajaan yang yakin terhadap kesahihan tindakannya sepatutnya bersedia mempertahankan keputusan tersebut di hadapan hakim, bukannya mengubah kedudukan pihak-pihak ketika permohonan penangguhan bakal didengar.

"Parti-parti anggota PN kekal bersatu untuk mempertahankan hak dan mandat rakyat melalui saluran undang-undang serta proses demokrasi. Seluruh ahli dan penyokong diseru supaya kekal tenang, mematuhi undang-undang dan memberikan ruang kepada proses mahkamah, sementara rakyat menilai tindakan kerajaan yang menggunakan kuasa pentadbiran terhadap lawan politiknya menjelang pilihan raya," katanya.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp
Tentang Penulis
Metra Syahril MohamedKetua Pengarang The Step, The Step | 86 siaran

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.

Lihat semua tulisan

Berita berkaitan

Majlis pelancaran jentera dan pengumuman calon BN dalam PRN Melaka.
Politik

Agihan kerusi tanpa rundingan langgar semangat konsensus: MCA

Oleh Metra Syahril Mohamed25 Oktober 2026 pada 09:52 PTG
“Hijau menerima biru. Biru mesti menerima hijau." - Zahid
Politik

Kerjasama BN-Pas buka laluan ke Putrajaya – Zahid

Oleh The Step24 Oktober 2026 pada 11:20 PTG
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Politik

Akmal Saleh dicalonkan semula kerusi DUN Merlimau

Oleh The Step24 Oktober 2026 pada 10:38 PTG
DUN Sarawak.
Politik

DUN Sarawak bubar berkuat kuasa 26 Oktober ini

Oleh The Step23 Oktober 2026 pada 03:58 PTG
EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com