Pendaftaran Perikatan Nasional dibatalkan – RoS
RoS menegaskan bahawa setiap pertubuhan berdaftar bertanggungjawab untuk memastikan pematuhan terhadap peruntukan Akta Pertubuhan 1966 serta perlembagaan pertubuhan masing-masing.


JABATAN Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran Parti Perikatan Nasional (PN) selepas penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas-asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis sebelum ini.
Menurut RoS, pihaknya merujuk kepada notis bertarikh 22 September yang telah dikeluarkan kepada PN di bawah Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832].
Notis tersebut jelasnya, memberi peluang kepada Perikatan Nasional untuk mengemukakan penjelasan dan representasi berhubung perkara-perkara yang dinyatakan dalam notis tersebut.
"Susulan itu, RoS telah menerima maklum balas daripada Perikatan Nasional pada 12 Oktober.
"Setelah meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan, Pendaftar Pertubuhan mendapati bahawa alasan yang diberikan tidak dapat menyangkal asas-asas pembatalan pendaftaran sebagaimana yang dinyatakan dalam notis tersebut serta tidak memberikan justifikasi yang kukuh untuk mengekalkan pendaftaran pertubuhan berkenaan.
"Sehubungan itu, Pendaftar Pertubuhan telah membuat keputusan untuk membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966," jelasnya dalam kenyataan.
RoS menegaskan bahawa setiap pertubuhan berdaftar bertanggungjawab untuk memastikan pematuhan terhadap peruntukan Akta Pertubuhan 1966 serta perlembagaan pertubuhan masing-masing.
Pihaknya juga akan terus melaksanakan fungsi kawal selia dan penguatkuasaan secara tegas, adil dan berlandaskan peruntukan undang-undang bagi memastikan tadbir urus pertubuhan yang teratur, telus dan berintegriti.

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.
Berita berkaitan

Agihan kerusi tanpa rundingan langgar semangat konsensus: MCA




