Nik Nazmi direhatkan tiga bulan daripada semua aktiviti BERSAMA
Terdahulu Nik Nazmi mengesahkan beliau seorang daripada dua individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atas dakwaan berkhalwat di Petaling Jaya, Khamis lalu.

Nik Nazmi Nik Ahmad.
BEKAS Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad direhatkan daripada semua aktiviti rasmi Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) selama tiga bulan berkuat kuasa 20 Oktober ini hingga 19 Januari 2027.
Perkara itu dinyatakan Presiden BERSAMA, Syukri Razab mengambil maklum kenyataan pengakuan Nik Nazmi berhubung penglibatan beliau dalam satu kes yang tersebar baru-baru ini.
Menurut beliau, BERSAMA memandang serius perkembangan tersebut dan berpendirian bahawa setiap isu yang melibatkan kepimpinan serta anggota parti perlu ditangani dengan sewajarnya, demi memelihara integriti, kredibiliti dan keyakinan masyarakat terhadap parti.
"Sehubungan itu, parti memutuskan untuk merehatkan beliau daripada semua aktiviti rasmi parti selama tiga bulan, berkuat kuasa mulai 20 Oktober ini," jelasnya dalam kenyataan.
Syukri memberitahu, BERSAMA berpendirian bahawa keputusan tersebut adalah perlu dan munasabah, tanpa menafikan segala sumbangan dan komitmen Nik Nazmi kepada perjuangan BERSAMA sejak parti ini dilancarkan semula pada Mei lalu.
Terdahulu Nik Nazmi mengesahkan beliau seorang daripada dua individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atas dakwaan berkhalwat di Petaling Jaya, Khamis lalu.
Berita berkaitan

Agihan kerusi tanpa rundingan langgar semangat konsensus: MCA




