EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com
Politik

DUN Melaka bubar esok, dapat perkenan Yang di-Pertua Negeri

"Sukacita dimaklumkan bahawa Tun (Yang di-Pertua Negeri) telah perkenan pembubaran DUN Melaka, esok, bersamaan 23 September 2026," katanya.

Metra Syahril Mohamed22 September 2026 pada 03:02 PTGDikemas kini 22 September 2026 pada 03:21 PTG
Negeri Melaka.

Negeri Melaka.

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan esok, 23 September, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 yang mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam sidang media khas di Seri Negeri, petang ini.

Menurut beliau, pihaknya sebelum itu telah mengadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr. Mohd Ali Mohd Rustam memaklumkan kedudukan DUN Melaka.

Ketua Menteri Melaka.

"Ia bagi memohon perkenan untuk pembubaran DUN Melaka.

"Sukacita dimaklumkan bahawa Tun (Yang di-Pertua Negeri) telah perkenan pembubaran DUN Melaka, esok, bersamaan 23 September 2026," katanya.

Untuk itu beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tun Dr. Mohd. Ali atas perkenan serta kebijaksanannya dalam melaksanakan fungsi seperti mana yang diperuntukkan.

Beliau berkata, dengan pengumuman tersebut, ia tidak bermakna segala urusan-urusan kerajaan negeri terhenti.

"Semuanya (urusan) terus berjalan seperti biasa.

"Kerajaan (kerajaan negeri) akan melaksanakan tanggungjawab atas kapasiti sebagai kerajaan sementara (caretaker) sehingga proses pilihan raya (selesai)," katanya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, pembubaran DUN dibuat selaras dengan peruntukan undang-undang dan seterusnya memberi ruang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjalankan proses berkaitan PRN Melaka.

Jelas beliau, SPR dijangka menetapkan tarikh writ pilihan raya, penamaan calon dan hari pengundian bagi PRN berkenaan.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dengan mandat kerajaan negeri ketika ini akan berakhir pada 31 Disember depan sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.

Tentang Penulis

Foto profil Metra Syahril Mohamed
Metra Syahril Mohamed

Penulis

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.

Berita berkaitan