Tragedi Irene Sofiya: ‘Cinta ditolak bukan alasan untuk bertindak ganas’ – Dr Hisham
'Cinta ditolak bukan alasan untuk seseorang bertindak agresif, mengugut, mengganggu, mencederakan' - Dr Hisham


'Cinta ditolak bukan alasan untuk seseorang bertindak agresif, mengugut, mengganggu, mencederakan' - Dr Hisham
CINTA yang ditolak mungkin meninggalkan rasa kecewa, marah dan kehilangan.
Namun ia bukan alasan untuk seseorang bertindak agresif, mengugut, mengganggu, mencederakan apatah lagi melakukan jenayah terhadap individu yang tidak membalas perasaannya.
Dalam hubungan sesama manusia, perkataan ‘tidak’ perlu dihormati kerana setiap individu mempunyai hak untuk memilih pasangan dan menentukan kehidupan sendiri.
Menurut Dr. Healing, Dr Hisham Dzakiria, penolakan cinta boleh mencetuskan emosi yang kuat kepada sesetengah individu, terutama mereka yang sukar mengurus emosi dan menerima kekecewaan.
“Apabila seseorang tidak mampu menerima perkataan ‘tidak’, kita perlu melihat bagaimana dia mengurus rasa kehilangan, kecewa dan kemarahannya,” katanya.
Beliau berkata, kecewa selepas ditolak adalah lumrah sebagai manusia, namun keadaan menjadi membimbangkan apabila perasaan itu diterjemahkan kepada ugutan, gangguan, mengekori, kawalan atau kekerasan.
Dr Hisham yang juga pemilik Healing Centre Dr Hisham Dzakiria menegaskan, ketidakmampuan menerima penolakan tidak semestinya bermaksud seseorang itu mengalami gangguan mental.
Sebaliknya, faktor seperti rasa memiliki yang melampau, kecemburuan, kebergantungan emosi, pemikiran obsesif dan kepercayaan bahawa dirinya berhak mendapatkan cinta seseorang boleh mempengaruhi tingkah laku.
“Jangan terlalu mudah melabel seseorang mempunyai masalah mental hanya kerana dia tidak dapat menerima penolakan. Yang lebih penting ialah melihat tingkah laku dan keupayaannya mengawal emosi,” katanya.
Isu berkenaan kembali menjadi perhatian susulan tragedi membabitkan pelajar berusia 16 tahun, Allahyarham Irene Sofiya, di Yong Peng, Johor, yang turut mencetuskan perbincangan mengenai dakwaan kononnya berpunca daripada cinta ditolak.

Bagaimanapun, Dr Hisham menegaskan bahawa motif sebenar tragedi berkenaan serta sebarang kaitannya dengan penolakan cinta perlu diserahkan kepada siasatan pihak berkuasa.
“Kita tidak boleh membuat kesimpulan berdasarkan perkara yang diperkatakan atau disebarkan. Biarlah pihak berkuasa menentukan fakta sebenar,” katanya.
Dalam masa sama, Dr Hisham mengingatkan masyarakat supaya tidak menganggap tingkah laku agresif sebagai sesuatu yang romantik atau sebagai tanda seseorang itu terlalu mencintai pasangannya.
Menurutnya, tindakan seperti mengugut, mengawal, mengekori atau menggunakan kekerasan tidak seharusnya diwajarkan dengan alasan seperti ‘dia terlalu sayang’ atau ‘dia jadi begitu kerana cintanya ditolak’.
Katanya, penolakan bukan penghinaan dan tidak pernah menjadi alasan untuk seseorang melakukan kekerasan.
“Setiap manusia berhak berkata tidak, mengubah fikiran, menolak hubungan atau memilih untuk tidak membalas perasaan seseorang. Dalam hubungan yang sihat, keputusan itu perlu dihormati,” katanya.
Beliau berkata, individu yang tidak mampu mengawal kemarahan atau mempunyai dorongan untuk mencederakan diri sendiri atau orang lain selepas mengalami penolakan perlu mendapatkan bantuan profesional.
“Meminta bantuan bukan tanda kelemahan. Ia adalah bentuk tanggungjawab terhadap diri sendiri dan orang di sekeliling,” katanya.
Dalam masa sama, masyarakat perlu lebih peka terhadap tanda-tanda tingkah laku obsesif, mengancam atau agresif dan tidak menunggu sehingga sesuatu tragedi berlaku sebelum mengambilnya serius.
“Cinta yang sihat menerima keputusan. Cinta yang matang tahu bahawa seseorang tidak boleh dipaksa untuk membalas perasaan.
“Cinta sebenar tidak memerlukan ugutan, kawalan atau kekerasan untuk membuktikan bahawa ia wujud,” katanya.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


