The Step - Every Story Moves You

“Terima kasih Tun M”... Dr Sam hargai amanat demi masa depan SG4

'Amanat Tun Dr Mahathir turut mengingatkan bahawa kejujuran, integriti dan kerja keras perlu menjadi asas kepada kemajuan ekonomi' - Dr Sam

Deel Anjer
Oleh Deel AnjerWartawan26 Oktober 2026 pada 08:50 PTG2 min bacaanDikemas kini 26 Oktober 2026 pada 08:54 PTG
Teks ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad dibacakan anaknya, Tan Seri Mokhzani memandangkan beliau belum pulih sepenuhnya daripada masalah kesihatan.

Teks ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad dibacakan anaknya, Tan Seri Mokhzani memandangkan beliau belum pulih sepenuhnya daripada masalah kesihatan.

MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merakamkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atas amanat yang disampaikan sempena Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 2026.

Menerusi kenyataan di Facebook, Dr Ahmad Samsuri atau lebih dikenali sebagai Dr Sam berkata, amanat berkenaan disampaikan bagi pihak Tun Dr Mahathir oleh anakandanya, Tan Sri Datuk Mokhzani Mahathir.

Menurut beliau, mesej utama yang diketengahkan ialah keperluan Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis memanfaatkan potensi ekonomi masing-masing supaya tidak terus ketinggalan dalam pembangunan negara.

Beliau berkata, gabungan empat negeri itu atau SG4 mempunyai asas ekonomi yang berpotensi besar, dengan jumlah penduduk kira-kira 5.7 juta orang, keluasan tanah yang besar serta pelbagai aset semula jadi bernilai.

Bagaimanapun, katanya, pemilikan sumber semula jadi sahaja tidak memadai untuk menjamin kemakmuran tanpa strategi pembangunan yang mampu menghasilkan nilai tambah kepada ekonomi.

“Unsur nadir bumi mesti melahirkan industri bernilai tambah, pertanian mesti lebih berorientasikan komersial, manakala sektor pembuatan, industri hiliran dan perdagangan rentas sempadan mesti membuka ruang pertumbuhan baharu,” katanya.

Dr Sam turut menekankan bahawa kekuatan utama SG4 bukan sekadar terletak pada kekayaan sumber alam, sebaliknya keupayaan rakyatnya yang telah membuktikan kebolehan dalam bidang keusahawanan di seluruh negara.

Justeru, beliau berpandangan ekosistem ekonomi yang lebih kondusif perlu dibangunkan bagi membolehkan rakyat empat negeri berkenaan mengembangkan perniagaan dan mencapai kejayaan di negeri sendiri.

Dalam pada itu, beliau berkata, amanat Tun Dr Mahathir turut mengingatkan bahawa kejujuran, integriti dan kerja keras perlu menjadi asas kepada kemajuan ekonomi, manakala rasuah, jalan pintas serta sikap mahu memperoleh keuntungan dengan cepat boleh menjejaskan pembangunan.

Menurutnya, SG4 memerlukan kepimpinan yang berani, pengurusan profesional, inovasi serta komitmen berterusan terhadap perubahan bagi merealisasikan potensi ekonomi wilayah berkenaan.

Beliau menegaskan kejayaan pembangunan akhirnya perlu dinilai berdasarkan sejauh mana pertumbuhan ekonomi dapat meningkatkan taraf kehidupan rakyat.

“Potensinya ada. Sumbernya ada. Rakyatnya ada. Kini tiba masanya untuk menukar potensi menjadi kemakmuran,” katanya.

Mengakhiri kenyataannya, Dr Sam sekali lagi merakamkan penghargaan kepada Tun Dr Mahathir atas pandangan, bimbingan dan keprihatinan beliau terhadap masa depan negara.

Beliau turut mendoakan agar Tun Dr Mahathir dikurniakan kesihatan yang baik, usia yang panjang dan diberkati serta kekuatan untuk terus berbakti kepada ummah dan negara.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp
Tentang Penulis
Deel AnjerWartawan, The Step | 191 siaran

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.

Lihat semua tulisan

Berita berkaitan

SPRM.
Nasional

Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM

Oleh Metra Syahril Mohamed27 Oktober 2026 pada 08:07 PG
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Nasional

Kajian baseline RUU pengurusan bencana dijangka selesai dalam 12 bulan

Oleh Metra Syahril Mohamed27 Oktober 2026 pada 07:44 PG
EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com