Tiada sekatan menyeluruh terhadap peruntukan KKM, KPT
Langkah yang diambil bukan bertujuan mengurangkan komitmen kerajaan terhadap sektor kesihatan dan pendidikan, sebaliknya untuk memastikan setiap ringgit perbelanjaan awam digunakan secara optimum demi kepentingan rakyat dan negara dalam mendepani krisis Asia Barat.


Semua perbelanjaan teras termasuk perkhidmatan asas, keselamatan, kesihatan dan pendidikan akan diteruskan seperti yang dirancang.
KERAJAAN tidak melaksanakan sekatan menyeluruh terhadap peruntukan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi tahun ini, sebaliknya pelarasan dilakukan hanya melibatkan perbelanjaan tidak kritikal.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), ia merangkumi seperti pelaksanaan program, seminar, majlis keraian serta perjalanan ke luar negara.
Jelasnya, semua perbelanjaan teras termasuk perkhidmatan asas, keselamatan, kesihatan dan pendidikan akan diteruskan seperti yang dirancang.
"Daripada cadangan sekatan asal sebanyak RM3.1 bilion ke atas KKM, hanya RM482 juta sahaja peruntukan yang telah dikenal pasti untuk dibuat penyelarasan semula perbelanjaan.
"Bagi KPT pula, daripada cadangan sekatan asal sebanyak RM2.4 bilion, hanya RM1.2 bilion dibuat penyelarasan semula perbelanjaan.
"Sekatan ini melibatkan Sekatan Objek Am (OA) 10000 – Objek Sebagai (OS) 11000 Gaji dan Upahan bagi perjawatan yang tidak diisi, Sekatan OA20000 – Perkhidmatan dan Bekalan, Sekatan OA30000 – Aset dan Sekatan Badan Berkanun Persekutuan (BBP) di bawah KPT," jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
MoF menjawab soalan Datuk Ali Biju (PN-Saratok) mengenai sejauh mana penelitian semula dibuat agar usaha penjimatan kos secara pelarasan fiskal membabitkan peruntukan bernilai RM5.45 bilion bagi KKM dan KPT tidak mengorbankan mutu perkhidmatan di hospital awam dan universiti tempatan.
Kementerian itu memberitahu, selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkukuh kedudukan fiskal negara dalam mendepani krisis Asia Barat dan memastikan perbelanjaan awam yang lebih berhemat, beberapa langkah kawalan bagi mengoptimumkan perbelanjaan telah dilaksanakan merentasi kementerian dan agensi kerajaan.
Langkah tersebut katanya, melibatkan semakan keutamaan program, penjadualan semula aktiviti yang kurang kritikal, pengurangan perbelanjaan yang kurang memberi impak langsung kepada penyampaian perkhidmatan kerajaan serta mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada.
Katanya, bagi KKM, fokus kerajaan kekal kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam, penyelenggaraan fasiliti kesihatan, perolehan ubat-ubatan dan peralatan perubatan serta pengukuhan kapasiti sistem kesihatan negara.
Sebarang pelarasan perbelanjaan jelasnya, dibuat tanpa menjejaskan perkhidmatan teras kepada rakyat.
Tambahnya, bagi KPT, keutamaan kerajaan terus diberikan kepada operasi universiti awam, kebajikan mahasiswa, biasiswa, penyelenggaraan institusi pendidikan tinggi serta pelaksanaan program pendidikan yang berimpak tinggi.
"Langkah mengoptimumkan perbelanjaan yang dilaksanakan tertumpu kepada perbelanjaan yang boleh dijimatkan tanpa menjejaskan akses dan kualiti pendidikan.
"Dalam hal ini, ruang penjimatan dikenal pasti melalui pengurangan atau penjadualan semula aktiviti yang kurang kritikal, termasuk seminar, majlis dan perjalanan, serta penangguhan perolehan aset yang belum mendesak, tertakluk kepada komitmen sedia ada," katanya.
Sehubungan itu tegas MoF, langkah yang diambil bukan bertujuan mengurangkan komitmen kerajaan terhadap sektor kesihatan dan pendidikan, sebaliknya untuk memastikan setiap ringgit perbelanjaan awam digunakan secara optimum demi kepentingan rakyat dan negara dalam mendepani krisis Asia Barat.

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.
Berita berkaitan

Curi kabel di siang hari di Jalan Tun Razak, polis giat buru kumpulan suspek
Oleh The Step21 November 2026 pada 04:14 PTG

Khoo Poay Tiong akui silap, mohon maaf isu premis tutup Jumaat di Kuala Terengganu


