Tiada konflik kepentingan penganugerahan kontrak THiJARI RM4.53 juta
Selaras dengan perkembangan teknologi, TH sentiasa berusaha untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan agar lebih mudah diakses oleh masyarakat.


Penganugerahan kontrak kepada syarikat Cyber Village Sdn. Bhd. bagi membangunkan aplikasi digital dan platform dalam talian THiJARI bernilai RM4.53 juta.
KERAJAAN menegaskan tiada konflik kepentingan dalam penganugerahan kontrak kepada syarikat Cyber Village Sdn. Bhd. bagi membangunkan aplikasi digital dan platform dalam talian THiJARI bernilai RM4.53 juta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, hal demikian kerana pemilik atau pengarah syarikat tersebut tiada hubung kait dengan kepimpinan Tabung Haji (TH) dan terpilih melalui tender menerusi kos projek yang paling kompetitif.
"Selaras dengan perkembangan teknologi, TH sentiasa berusaha untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan agar lebih mudah diakses oleh masyarakat.
"Ini telah dicapai dengan pembangunan aplikasi digital dan platform dalam talian THiJARI yang telah dimanfaatkan oleh majoriti pendeposit TH sejak 2020," jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) sama ada TH telah menjalankan semakan konflik berkepentingan terhadap pihak tertentu berhubung kontrak THiJARI bernilai RM4.53 juta yang diberikan kepada Cyber Village pada 2019.
Zulkifli memberitahu, bagi memastikan objektif THiJARI ini dapat dicapai, kontrak bagi membangunkan sistem yang memerlukan kepakaran khusus itu telah dibuat secara tender melibatkan penyertaan enam vendor.
Malah jelasnya, ia melalui proses perolehan yang bertepatan dengan peraturan perolehan TH, termasuk semakan profil pegangan syarikat bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan berlaku.
"Kontrak berkenaan telah dianugerahkan kepada syarikat Cyber Village Sdn. Bhd. pada 2019 berdasarkan kriteria teknikal dan merit yang memenuhi keperluan TH serta menawarkan kos projek yang paling kompetitif," tegasnya.

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.
Berita berkaitan

Curi kabel di siang hari di Jalan Tun Razak, polis giat buru kumpulan suspek
Oleh The Step21 November 2026 pada 04:14 PTG

Khoo Poay Tiong akui silap, mohon maaf isu premis tutup Jumaat di Kuala Terengganu


