The Step - Every Story Moves You

STR, SARA naik RM16 bilion, pelepasan cukai individu meningkat kepada RM12,000

Semua penerima STR akan menerima SARA sehingga RM150 sebulan atau maksimum RM1,800 setahun, yang dijangka memberi manfaat kepada sehingga sembilan juta penerima.

Deel Anjer
Oleh Deel AnjerWartawan9 Oktober 2026 pada 04:05 PTG4 min bacaanDikemas kini 10 Oktober 2026 pada 06:15 PTG
semua penerima STR akan menerima SARA sehingga RM150 sebulan atau maksimum RM1,800 setahun, yang dijangka memberi manfaat kepada sehingga sembilan juta penerima.

Semua penerima STR akan menerima SARA sehingga RM150 sebulan atau maksimum RM1,800 setahun, yang dijangka memberi manfaat kepada sehingga sembilan juta penerima.

KERAJAAN meningkatkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion bagi 2027 berbanding RM15 bilion sebelum ini, selain menaikkan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua penerima STR akan menerima SARA sehingga RM150 sebulan atau maksimum RM1,800 setahun, yang dijangka memberi manfaat kepada sehingga sembilan juta penerima.

Selain itu, rakyat berusia 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR akan menerima SARA MADANI sebanyak RM100 sebanyak dua kali, iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang sambutan ambang 70 tahun kemerdekaan negara.

Bantuan berkenaan dijangka memanfaatkan sehingga 13 juta rakyat Malaysia, termasuk golongan berpendapatan sederhana atau M40.

Pengumuman itu dibuat ketika membentangkan Belanjawan MADANI Kelima Tahun 2027 di Dewan Rakyat, Jumaat.

SARA boleh digunakan di pasar tani

Kerajaan turut bersetuju memperluas penggunaan SARA untuk pembelian barangan basah dan segar di 216 pasar tani atau tamu di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara.

Ketika ini, terdapat kira-kira 15,000 premis rakan niaga SARA, termasuk 6,800 kedai runcit kecil dan koperasi.

Kerajaan menyasarkan jumlah kedai runcit kecil yang menyertai program itu meningkat kepada 10,000 sebelum akhir tahun ini.

RM750 juta untuk Jualan Rahmah dan Agro Madani

Peruntukan Jualan Rahmah Madani dan Jualan Agro Madani ditingkatkan daripada RM630 juta kepada RM750 juta, dengan sasaran sebanyak 35,000 penganjuran pada tahun depan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 30,000 program Jualan Rahmah akan melibatkan semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Penganjuran akan diperbanyakkan di kawasan desa, perumahan kos rendah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bandar.

Selain melalui kedai runcit biasa, program berkenaan turut diperluas melalui mesin layan diri.

Jualan Rahmah Madani Borong juga akan dianjurkan bagi membantu peniaga kecil.

Sementara itu, sebanyak 5,000 program Jualan Agro Madani akan menawarkan hasil pertanian segar seperti ikan, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan pada harga sehingga 30 peratus lebih murah.

Kerajaan turut memperuntukkan RM250 juta untuk memperluas pengedaran barangan asas ke kawasan pedesaan dan pedalaman, termasuk enam lokasi baharu.

Antara lokasi yang dikenal pasti ialah Kampung Terian di Penampang, Sabah dan Kampung Dato' Godam di Pusa, Sarawak.

Bil elektrik dan subsidi bahan api

Anwar berkata, kerajaan sentiasa menambah baik dasar bagi memastikan kebajikan rakyat diberi keutamaan, khususnya dalam menangani kos sara hidup.

Bulan lalu, kerajaan menaikkan had perlindungan bil elektrik daripada 600 kepada 800 kilowatt-jam sebulan, yang memberi manfaat kepada lebih lapan juta pengguna atau sehingga 90 peratus pengguna domestik.

Kelayakan bulanan BUDI95 turut dinaikkan kepada 300 liter, manakala BUDI Diesel untuk pemilik jip dan pikap ditingkatkan kepada 400 liter sebulan.

Berdasarkan rekod September, kira-kira 100,000 pengguna atau kurang satu peratus menggunakan sepenuhnya kelayakan BUDI95 sebanyak 300 liter.

Bagi BUDI Diesel, kira-kira 15,000 pengguna jip dan pikap menggunakan keseluruhan 400 liter yang diperuntukkan.

Kerajaan berpandangan jumlah kelayakan bulanan itu mencukupi berdasarkan corak penggunaan rakyat ketika ini.

Secara keseluruhan, lebih RM80 bilion diperuntukkan bagi subsidi, bantuan dan insentif pada 2027.

Jumlah itu termasuk subsidi bahan api yang dijangka kekal tinggi pada RM40 bilion serta hampir RM3.3 bilion untuk bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pelepasan cukai individu dinaikkan kepada RM12,000

Bagi membantu golongan berpendapatan sederhana yang turut tertekan dengan kos sara hidup, kerajaan menaikkan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000.

Had pelepasan itu tidak disemak sejak 2010.

Selain itu, kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan sebanyak satu mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai tertentu.

Bagi pendapatan bercukai antara RM70,000 hingga RM100,000, kadar cukai dikurangkan kepada 18 peratus, manakala pendapatan bercukai antara RM100,000 hingga RM150,000 dikenakan kadar 24 peratus.

Pada masa sama, kadar cukai bagi individu berpendapatan tinggi melebihi RM1 juta diselaraskan kepada 30 peratus.

Pelepasan cukai diperluas kepada beberapa perbelanjaan

Kerajaan turut memperluas pelepasan cukai individu meliputi beberapa perbelanjaan baharu.

Antaranya, perbelanjaan rawatan perubatan diperluas kepada perkhidmatan penjagaan selepas bersalin.

Pelepasan bagi penjagaan ibu bapa dan datuk nenek pula diperluas kepada semua perbelanjaan penjagaan dan tidak lagi terhad kepada kos kesihatan.

Pembelian kasut sukan turut dimasukkan dalam pelepasan peralatan sukan, manakala pelepasan yuran pengajian dan kemahiran diperluas kepada semua bidang pengajian serta tuisyen anak.

Pelepasan gaya hidup pula merangkumi langganan kecerdasan buatan (AI), selain kos vaksinasi dan pengambilan haiwan peliharaan angkat daripada pusat berdaftar.

Secara keseluruhan, kenaikan had pelepasan dan pengurangan kadar cukai individu itu dijangka memberikan tambahan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar cukai.

Belanjawan Madani 2027 bertemakan Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi itu dibentangkan selari dengan Kerangka Ekonomi Madani dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026-2030.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp
Tentang Penulis
Deel AnjerWartawan, The Step | 191 siaran

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.

Lihat semua tulisan

Berita berkaitan

SPRM.
Nasional

Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM

Oleh Metra Syahril Mohamed27 Oktober 2026 pada 08:07 PG
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Nasional

Kajian baseline RUU pengurusan bencana dijangka selesai dalam 12 bulan

Oleh Metra Syahril Mohamed27 Oktober 2026 pada 07:44 PG
EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com