Sindiket persundalan Malaysia-Singapura: 30 ditahan di KL, Johor
Malaysia dijadikan sebagai hab operasi bagi mengelak serta menyukarkan pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan pencegahan ke atas kumpulan sindiket.


Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar.
SERAMAI 30 orang termasuk 29 warga asing ditahan, dipercayai terlibat sindiket persundalan rentas sempadan, menerusi Op Noda hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Singapore Police Force (SPF), semalam.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, ia menyasarkan pelanggan warga Singapura dengan menggunakan laman sesawang sebagai medium promosi.
Jelas beliau, operasi yang dijalankan secara serentak di beberapa premis kediaman di sekitar Kuala Lumpur dan Johor itu turut memfokuskan subjek-subjek yang disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki (wanted) oleh pihak SPF.
"Pasukan serbuan dari JSJ Bukit Aman bersama JSJ, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor telah melaksanakan beberapa siri serbuan dan menahan seorang warga tempatan dan lapan warga asing, berusia dalam lingkungan 29 hingga 56 tahun.
"Berdasarkan semakan awal dokumen pengenalan diri yang dirampas, tangkapan warga asing terdiri daripada tujuh warga China dan seorang warga Singapura.
"Siasatan awal mendapati kesembilan orang yang ditangkap itu dipercayai ahli kumpulan sindiket persundalan yang sama dan mempunyai rekod dikehendaku oleh SPF di bawah kesalahan Seksyen 146A(1)(b) Women's Charter 1961 dan Seksyen 109 Of Penal Code," jelasnya dalam kenyataan.
Beliau menambah, semakan awal juga mendapati seorang warga Singapura dan empat warga China yang ditangkap telah tinggal lebih masa di Malaysia.
Kesemua mereka katanya, diserahkan kepada pihak SPF melalui Bahagian D12 (NCB/Interpol), JSJ Bukit Aman selepas pengesahan identiti di bawah Seksyen 5(3) Akta (Peruntukan-Peruntukan Khas) Saman dan Waran 1971 dibuat di hadapan Majistret.
Dalam operasi yang sama jelasnya, pasukan serbuan turut menangkap 21 warga asing kerana dipercayai terlibat aktiviti mempromosi dan menguruskan khidmat persundalan secara dalam talian.
Katanya, berdasarkan semakan awal dokumen pengenalan diri yang dirampas, 17 daripadanya warga China, tiga (Vietnam) dan seorang warga Laos.
"Pelbagai perkakasan peranti elektronik yang dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti persundalan dalam talian turut dirampas untuk siasatan lanjut.
"Kesemua 21 tangkapan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan untuk siasatan di bawah peruntukan kesalahan-kesalahan Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Modus operandi sindiket yang dipercayai mula bergiat aktif menjalankan aktiviti persundalan sejak 2024 di Singapura ini dikesan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi bagi menguruskan laman sesawang yang menawarkan perkhidmatan pelacur kepada pelanggan-pelanggan di Singapura," katanya.
Malaysia katanya, dijadikan sebagai hab operasi bagi mengelak serta menyukarkan pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan pencegahan ke atas kumpulan sindiket.
Jelasnya, kejayaan operasi ini membuktikan keberkesanan sinergi strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPF melalui perkongsian maklumat risikan dalam mencapai objektif bersama membanteras kegiatan sindiket persundalan rentas sempadan antara kedua-dua negara.

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.
Berita berkaitan

Curi kabel di siang hari di Jalan Tun Razak, polis giat buru kumpulan suspek
Oleh The Step21 November 2026 pada 04:14 PTG

Khoo Poay Tiong akui silap, mohon maaf isu premis tutup Jumaat di Kuala Terengganu


