The Step - Every Story Moves You

Sindiket edar dadah guna aset tentera: 5 pegawai TUDM antara 11 ditahan

JSJN kini sedang giat mengesan seorang lagi warganegara Malaysia yang dipercayai merupakan ketua sindiket bagi membongkar keseluruhan struktur organisasi dan mengenal pasti pihak lain yang terlibat.

Metra Syahril Mohamed
Oleh Metra Syahril MohamedKetua Pengarang The Step19 November 2026 pada 10:24 PTG2 min bacaanDikemas kini 20 November 2026 pada 05:20 PTG
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan.

LIMA pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) antara 11 individu ditahan kerana disyaki terbabit aktiviti pengedaran 96.64 kilogram (kg) dadah menggunakan aset tentera, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua mereka ditahan, kelmarin, menerusi beberapa siri operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan.

"Pada 17 November, JSJN Bukit Aman melaksanakan beberapa siri operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan yang membawa kepada penahanan sebelas individu, terdiri daripada lima pegawai TUDM dan enam orang awam.

"Operasi tersebut turut membawa kepada rampasan 96.64 kilogram dadah disyaki jenis methamphetamine (syabu) bernilai RM4.83 juta, selain cecair bahan kimia seberat 6.98 kilogram," jelasnya dalam kenyataan.

Hussein berkata, hasil siasatan mendapati dua daripada individu awam yang ditahan dipercayai berperanan sebagai koordinator dalam mengatur dan menyelaras kegiatan pengedaran dadah sindiket berkenaan.

JSJN kini katanya, sedang giat mengesan seorang lagi warganegara Malaysia yang dipercayai merupakan ketua sindiket bagi membongkar keseluruhan struktur organisasi dan mengenal pasti pihak lain yang terlibat.

"Risikan awal mendapati sindiket ini dipercayai aktif sejak Julai 2026 dengan menggunakan kemudahan pengangkutan udara ketenteraan TUDM bagi menyeludup dadah dari Semenanjung ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa, khususnya Filipina dan Indonesia.

"Modus operandi ini memperlihatkan tahap keberanian dan kelicikan sindiket dalam mengeksploitasi kemudahan serta kepercayaan yang diberikan kepada individu tertentu dalam institusi keselamatan negara," katanya.

Beliau memberitahu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) kekal komited dan lebih berfokus dalam memahami serta membongkar pelbagai modus operandi sindiket pengedaran dadah yang semakin licik, kompleks dan berstruktur.

Justeru jelasnya, JSJN terus memperkukuh pendekatan penguatkuasaan berteraskan risikan, analisis rangkaian sindiket dan kerjasama strategik antara agensi bagi mengenal pasti dan melumpuhkan keseluruhan rantaian pengedaran dadah, khususnya dalang utama (mastermind) yang menjadi penggerak kegiatan jenayah terancang.

"Perkembangan terkini menunjukkan sindiket semakin berani mengeksploitasi kemudahan strategik kerajaan serta memperalatkan individu yang mempunyai akses dan kedudukan tertentu bagi melindungi kegiatan jenayah mereka daripada dikesan pihak berkuasa," katanya.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp
Tentang Penulis
Metra Syahril MohamedKetua Pengarang The Step, The Step | 102 siaran

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.

Lihat semua tulisan

Berita berkaitan

EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com