Sebahagian besar aset, akaun bank, hartanah Najib masih tertakluk perintah pembekuan
Sementara itu dan sehingga denda tersebut dibayar kepada mahkamah, Najib kekal berada di dalam Penjara Kajang.

Najib Tun Razak.
SEBAHAGIAN besar aset, akaun bank dan hartanah Datuk Seri Najib Tun Razak masih tertakluk kepada perintah pembekuan dan tindakan penguatkuasaan oleh pihak kerajaan.
Peguambela dan Peguamcara mewakili Najib, Tetuan Shafee & Co. memaklumkan, pelupusan aset berkenaan tidak berada sepenuhnya dalam kawalan beliau buat masa ini.
Justeru jelasnya, keupayaan Najib untuk memenuhi syarat iaitu denda sebanyak RM50 juta bagi menjalani baki hukuman secara tahanan rumah, bergantung, sebahagiannya, kepada perkara-perkara yang berada di luar kawalan beliau.
"Dalam keadaan sedemikian, anak guam kami (Najib) kini sedang mendapatkan nasihat dan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada bagi menentukan cara terbaik untuk memenuhi syarat tersebut," jelasnya dalam kenyataan bagi pihak Najib, hari ini.
Firma guaman berkenaan memberitahu, sementara itu dan sehingga denda tersebut dibayar kepada mahkamah, Najib kekal berada di dalam Penjara Kajang.
"Anak guam kami serta pasukan peguamnya kini sedang meneliti syarat-syarat tersebut serta implikasi praktikalnya," katanya.
Terlebih dahulu jelasnya, Najib menjunjung kasih ke bawah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan Seri Paduka melaksanakan kuasa prerogatif pengampunan diraja untuk beliau, dengan memperkenankan pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.
Najib kaanya, menerima keputusan Seri Paduka dengan penuh kesyukuran dan kerendahan hati.
"Anak guam kami turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan atas pertimbangan yang diberikan terhadap permohonan beliau.
"Pengampunan yang diperkenankan adalah pengampunan bersyarat. Sepertimana yang dinyatakan dengan jelas dalam pengumuman tersebut, pelaksanaan tahanan rumah bagi anak guam kami bergantung kepada pematuhan syarat-syarat yang telah ditetapkan," katanya.
Firma guaman itu menambah, Najib amat tersentuh dengan limpahan sokongan yang diterima sejak pengumuman tersebut dikeluarkan.
Beliau katanya, merakamkan penghargaan khusus kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO serta kepimpinan dan ahli-ahli UMNO dan Barisan Nasional di semua peringkat, yang sentiasa berdiri teguh bersama beliau.
"Anak guam kami turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah tampil untuk menawarkan bantuan bagi memenuhi syarat yang ditetapkan. Beliau merasa amat bersyukur dan terharu bahawa begitu ramai yang ingin memberi sokongan dan berdiri bersama beliau.
"Walaupun anak guam kami amat terharu dengan ungkapan solidariti ini, beliau tidak mahu sesiapapun, tidak kiralah parti, ahli-ahli dan penyokongnya, mahupun orang ramai, berasa terbeban atau terikat dengan sebarang kewajipan atas nama beliau.
"Beliau tetap amat berterima kasih kepada mereka yang, atas kerelaan sendiri dan mengikut kemampuan masing-masing, telah memilih untuk menghulurkan sokongan dan bantuan. Keikhlasan mereka merupakan sumber kekuatan yang amat besar kepada beliau sejak dari dahulu sehingga hari ini," jelasnya.
Tentang Penulis

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.
Dari Penulis

Kakitangan Malaysia Airlines terbaik di Asia, 'top 3' kru kabin terbaik dunia
Metra Syahril Mohamed · 19 September 2026 pada 08:57 PTG

Anthony Loke tawar diri letak jawatan menteri
Metra Syahril Mohamed · 19 September 2026 pada 06:47 PTG

MCMC terima aduan video pementasan sentuh institusi raja, Rukun Negara
Metra Syahril Mohamed · 19 September 2026 pada 05:05 PTG

Siasatan kes FELDA, FIC: SPRM rakam keterangan Isa Samad di penjara
Metra Syahril Mohamed · 19 September 2026 pada 04:08 PTG
Berita berkaitan

Status tahanan di rumah terhadap Najib: Jabatan Penjara tunggu arahan rasmi
The Step · 20 September 2026 pada 01:41 PTG

SPRM, media gerak seiring kukuh usaha banteras rasuah
The Step · 19 September 2026 pada 07:56 PTG

MCMC terima aduan video pementasan sentuh institusi raja, Rukun Negara
Metra Syahril Mohamed · 19 September 2026 pada 05:05 PTG

Siasatan kes FELDA, FIC: SPRM rakam keterangan Isa Samad di penjara
Metra Syahril Mohamed · 19 September 2026 pada 04:08 PTG

