Satu juta anak muda alami kemurungan, faktor tekanan mengejar kejayaan
Pelbagai faktor yang menyumbang kepada masalah kesihatan mental anak muda antaranya faktor tekanan mengejar kejayaan akademik dan kerjaya, masalah perhubungan, pengaruh media sosial dan masalah kewangan.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
PREVALEN kemurungan dalam kalangan mereka yang berusia 16 tahun ke atas adalah sebanyak 4.6 peratus (%) atau kira-kira satu juta orang.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia berdasarkan hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023.
Jelas beliau, kumpulan anak muda atau belia mencatatkan kadar tertinggi, di mana prevalen kemurungan berada pada 7.9% bagi lingkungan usia 16 hingga 19 tahun dan 7.6% bagi usia 20 hingga 29 tahun.
"Pelbagai faktor yang menyumbang kepada masalah kesihatan mental anak muda antaranya faktor tekanan mengejar kejayaan akademik dan kerjaya, masalah perhubungan, pengaruh media sosial dan masalah kewangan," jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai penilaian terhadap tahap kesejahteraan mental dalam kalangan anak muda dan wanita muda di Malaysia.
Dr. Dzulkefly memberitahu, ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat sekeliling berperanan dalam mengenal pasti tanda-tanda masalah kesihatan mental yang dialami oleh anak muda bagi membolehkan intervensi dan rawatan sewajarnya dapat diberi lebih awal.
Dalam pada itu katanya, hasil Tinjauan NHMS pada 2022 yang menilai tahap kemurungan ibu selepas bersalin mendapati 11.2% mengalami kemurungan.
Lebih membimbangkan jelasnya, sembilan daripada 10 ibu ini tidak menyedari masalah kemurungan yang mereka alami.
Katanya, ibu-ibu yang mengalami kemurungan lebih ramai dalam kalangan ibu muda dan tinggal di bandar-bandar.
"Kementerian Kesihatan (KKM) melalui penubuhan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) telah bertindak sebagai pusat peneraju dan koordinasi dasar kesihatan mental kebangsaan merentas kementerian dan agensi kerajaan termasuk menangani isu-isu krisis kesihatan mental, pembangunan polisi, pelaksanaan intervensi dan juga latihan.
"KKM menyambut baik cadangan penubuhan pasukan petugas khas rentas kementerian dengan penggabungan kepakaran pelbagai kementerian untuk intervensi awal di peringkat pendidikan, pekerjaan, keluarga dan komuniti," katanya.

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.
Berita berkaitan

Curi kabel di siang hari di Jalan Tun Razak, polis giat buru kumpulan suspek
Oleh The Step21 November 2026 pada 04:14 PTG

Khoo Poay Tiong akui silap, mohon maaf isu premis tutup Jumaat di Kuala Terengganu


