EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com
Nasional

RCI Tabung Haji: Azeez Rahim, keluarga diminta isytihar harta dalam tempoh sebulan

Abdul Azeez sebelum itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 9 September lalu, atas satu pertuduhan menggunakan kedudukan berkaitan pelaburan RM193.5 juta dalam Putrajaya Perdana Berhad, 12 tahun lalu.

Metra Syahril Mohamed19 September 2026 pada 03:08 PTGDikemas kini 19 September 2026 pada 03:10 PTG
Abdul Azeez Abdul Rahim

Abdul Azeez Abdul Rahim

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerahkan notis kepada bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan ahli keluarganya supaya mengisytiharkan harta masing-masing.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman dengan tempoh sebulan diberikan kepada mereka untuk berbuat demikian.

Menurut beliau, notis berkenaan diserahkan minggu ini mengikut peruntukan undang-undang, iaitu kepada Abdul Azeez, ahli keluarga termasuk anak-anaknya.

"Borang tertentu turut diberikan kepada pihak terbabit bagi tujuan pengisytiharan dan pelaporan harta kepada SPRM," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan perasmian Program Menembak SPRM Bersama Media di Maktab Penjara Kajang, hari ini.

Abdul Azeez sebelum itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 9 September lalu, atas satu pertuduhan menggunakan kedudukan berkaitan pelaburan RM193.5 juta dalam Putrajaya Perdana Berhad, 12 tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, ahli politik berusia 60 tahun itu didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Pengerusi Lembaga TH, telah menggunakan kedudukannya untuk suapan.

Ia membabitkan jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad dengan remunirasi sebanyak RM690,000 setahun serta kemudahan satu kereta jenis BMW 7 Series termasuk seorang pemandu tetap.

Tentang Penulis

Foto profil Metra Syahril Mohamed
Metra Syahril Mohamed

Penulis

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.

Berita berkaitan