The Step - Every Story Moves You

Projek Pan Borneo Sabah Fasa 1: PAC mula prosiding siasatan 25 November ini

PAC memohon kerjasama penuh daripada pihak SPRM untuk bersama-sama meneliti segala fakta dan keterangan sepanjang prosiding PAC dijalankan, dan PAC akan terus merujuk sebarang penemuan salah laku kepada tindakan penguatkuasaan undang-undang.

Metra Syahril Mohamed
Oleh Metra Syahril MohamedKetua Pengarang The Step19 November 2026 pada 11:31 PG2 min bacaanDikemas kini 19 November 2026 pada 02:13 PTG
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin

JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan prosiding pertama siasatan berhubung Pengurusan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1 pada 25 November ini.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, untuk itu pihaknya akan memanggil saksi-saksi utama daripada Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah.

"Kita juga PAC akan memanggil pihak yang terlibat dalam pengurusan dan pelaksanaan projek ini untuk memberi keterangan.

"Ini termasuk pegawai dan pihak yang pernah berkhidmat sejak projek ini mula dirancang.

"Buat julung kalinya, PAC juga telah menjemput PAC Negeri Sabah untuk bersama menyertai prosiding-prosiding sepanjang siasatan berkenaan isu ini," jelasnya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, PAC tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran tatacara kewangan mahupun unsur salah guna kuasa, dan tidak akan membiarkan mana-mana pihak yang bertanggungjawab terlepas daripada dipertanggungjawabkan.

PAC katanya, ingin menekankan bahawa wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga merupakan ahli ex-officio dalam PAC yang turut hadir dalam setiap prosiding.

Oleh itu jelas beliau, PAC memohon kerjasama penuh daripada pihak SPRM untuk bersama-sama meneliti segala fakta dan keterangan sepanjang prosiding PAC dijalankan, dan PAC akan terus merujuk sebarang penemuan salah laku kepada tindakan penguatkuasaan undang-undang.

Terdahulu PAC mengadakan sesi perbincangan selama satu jam setengah bersama lima orang Ahli Parlimen Sabah, semalam, berhubung Pengurusan Projek LPB Sabah Fasa 1 susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2026.

Ahli-ahli Parlimen Sabah yang dijemput itu dipilih berdasarkan kawasan Parlimen yang mencatatkan prestasi kemajuan kerja fizikal paling kritikal sepanjang jajaran projek yang mengalami status projek sakit dan lewat.

Ahli-Ahli Parlimen yang hadir memberikan pandangan adalah:

(i) Datuk Dr. Mohammad Yusof bin Apdal, Ahli Parlimen Lahad Datu merangkap Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi;

(ii) Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Ahli Parlimen Beluran;(iii) Datuk Seri Madius Tangau, Ahli Parlimen Tuaran;

(iv) Datuk Siti Aminah Aching, Ahli Parlimen Beaufort; dan

(v) Isnaraissah Munirah Majilis@Fakharudy, Ahli Parlimen Kota Belud.

Mas Ermieyati memberitahu, melalui sesi perbincangan semalam, PAC telah menerima maklum balas yang amat baik dan terperinci daripada kelima-lima Ahli Parlimen Sabah berkenaan situasi sebenar yang sedang berlaku di lapangan.

"Mereka berkongsi secara langsung keadaan di tapak pembinaan, masalah harian yang terpaksa ditanggung oleh rakyat, serta ancaman keselamatan dan nyawa yang membahayakan pengguna jalan raya akibat projek yang tertangguh terlalu lama.

"Gambaran sebenar di lapangan ini memberikan pemahaman yang lebih jelas mengenai punca masalah yang membantu PAC membuat siasatan yang lebih tepat sebelum saksi-saksi rasmi dipanggil," katanya.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp
Tentang Penulis
Metra Syahril MohamedKetua Pengarang The Step, The Step | 102 siaran

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.

Lihat semua tulisan

Berita berkaitan

EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com