Penyu Belimbing mendarat buat kali keempat di Terengganu, 70 telur diselamatkan
Sebanyak 70 biji telur Penyu Belimbing ditemui nelayan tempatan sekitar jam 4 pagi


Kemunculan seekor Penyu Belimbing di Pantai Jambu Bongkok, Marang, Terengganu, adalah pendaratan kali keempat spesies berkenaan di Terengganu sepanjang tahun ini. Foto: Jabatan Perikanan Terengganu
Kemunculan seekor Penyu Belimbing di Pantai Jambu Bongkok, Marang, awal pagi semalam mencatatkan pendaratan kali keempat spesies berkenaan di Terengganu sepanjang tahun ini.
Sebanyak 70 biji telur Penyu Belimbing ditemui nelayan tempatan sekitar jam 4 pagi pada 1 Oktober 2026, selain kesan trek penyu berukuran kira-kira 2.17 meter lebar.
Menurut Jabatan Perikanan Malaysia, terdapat kemungkinan penyu berkenaan merupakan individu sama yang mendarat baru-baru ini, memandangkan seekor ibu penyu boleh naik ke pantai untuk bertelur lebih daripada lima kali sepanjang satu musim bertelur.
Bagaimanapun, kelibat ibu penyu tidak lagi kelihatan ketika pemeriksaan dilakukan kerana ia dipercayai sudah kembali ke laut.
Penemuan itu kemudiannya dimaklumkan oleh nelayan terbabit kepada Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang.
Susulan makluman berkenaan, petugas TCIC segera ke lokasi untuk mengutip telur, menjalankan pemeriksaan terhadap trek pendaratan sebelum memindahkan telur terbabit ke pusat berkenaan untuk tujuan pengeraman.
Jabatan Perikanan turut merakamkan penghargaan kepada nelayan berkenaan atas keprihatinan serta tindakan pantas melaporkan penemuan telur dan trek penyu.
Dalam pada itu, Jabatan Perikanan menyeru komuniti nelayan, penduduk setempat serta orang awam supaya segera melaporkan sebarang pendaratan atau penemuan penyu kepada pihak berkuasa.
Tindakan pantas berkenaan penting bagi membolehkan langkah perlindungan dan pemuliharaan dilaksanakan, khususnya bagi memastikan telur penyu dapat diselamatkan dan dieram dalam keadaan yang sesuai.
Kerjasama semua pihak juga amat diperlukan bagi memastikan kawasan pendaratan penyu terus dilindungi serta usaha pemuliharaan Penyu Belimbing di Terengganu dapat diteruskan secara berkesinambungan.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


