Penyu belimbing bertelur buat kali kelima di Pantai Rantau Abang
Sebanyak 48 biji telur ditemukan di dalam sarang sedalam 110 sentimeter.


Sebanyak 48 biji telur ditemukan di dalam sarang sedalam 110 sentimeter. Foto: Jabatan Perikanan Negeri Terengganu
PANTAI Rantau Abang kembali menjadi tumpuan apabila seekor ibu penyu gergasi mendarat dan bertelur di pantai berkenaan pada awal pagi 10 Oktober, sekali gus merekodkan pendaratan kelima tahun ini.
Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, ibu penyu berkenaan mendarat kira-kira jam 3 pagi sebelum mula bertelur pada jam 4.30 pagi.
Penyu itu kemudiannya kembali ke laut pada jam 5.45 pagi selepas selesai proses bertelur.
Berdasarkan maklumat yang dikongsikan, ibu penyu berkenaan mempunyai panjang 1.56 meter dan lebar 2.1 meter, manakala ukuran karapas atau tempurungnya ialah 156 sentimeter panjang dan 108 sentimeter lebar.
Sebanyak 48 biji telur ditemukan di dalam sarang sedalam 110 sentimeter.
Bagi memastikan keselamatan telur berkenaan, pasukan konservasi dan rondaan malam bertindak pantas seawal jam 4.45 pagi sebelum telur dipindahkan dan ditanam semula di pusat penetasan (hatchery) TCIC pada jam 7 pagi.
Langkah itu penting bagi membantu melindungi telur daripada ancaman serta meningkatkan peluang penetasan dalam persekitaran yang lebih terkawal.
Jabatan Perikanan Negeri Terengganu turut mengajak orang ramai mendoakan agar telur berkenaan menetas dengan baik dan anak-anak penyu dapat kembali ke lautan apabila tiba masanya.
Pendaratan itu sekali lagi menonjolkan kepentingan usaha pemuliharaan penyu di Terengganu, khususnya di Pantai Rantau Abang yang terkenal sebagai antara lokasi bersejarah bagi pendaratan penyu di negara ini.
Usaha berterusan pihak berkuasa, pasukan konservasi dan masyarakat amat penting bagi memastikan khazanah marin berkenaan terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


