Menteri akui TuJu belum sedia, tapi tergesa-gesa larang Waze, mana logiknya?
"Waze bukan aplikasi baru di Malaysia. Ia telah digunakan lebih 10 tahun. Jika selama ini ia berisiko, adakah ini bermakna kita telah lama terdedah kepada ancaman kuasa luar?"


Ketua Penerangan Pemuda MCA Kebangsaan, Neow Choo Seong.
'JIKA TuJu sendiri diakui belum sedia, mengapa larangan terhadap Waze dilaksanakan terlebih dahulu?'
Demikian persoalan dibangkitkan Ketua Penerangan Pemuda MCA Kebangsaan, Neow Choo Seong, merujuk kepada kenyataan Menteri Digital, Gobind Singh Deo di Dewan Rakyat, semalam, berhubung keupayaan aplikasi TuJu dan justifikasi larangan penggunaan Waze bagi urusan rasmi kerajaan.
Beliau memetik hujah menteri itu di Parlimen yang membuat pengakuan terbuka bahawa TuJu perlu ditambah baik susulan aduan ramai pengguna mengenai kelemahan fungsi navigasi itu.
Malah Gobind turut memaklumkan fungsi TuJu sedang diperluas, merangkumi maklumat aliran trafik di jalan yang menghala ke lebuh raya.
Choo Seong berkata, kenyataan tersebut bermakna setakat hari ini, fungsi TuJu masih terhad kepada pemantauan lebuh raya dan belum menyeluruh seperti Waze yang merangkumi semua jalan Persekutuan serta negeri, lorong, taman perumahan, kawasan kampung, jalan ladang dan kebun, serta lain-lain laluan alternatif harian.
"Pengakuan ini sebenarnya mengesahkan sentimen sebenar rakyat selama ini. Sepatutnya prinsip asas adalah bangunkan dahulu aplikasi digital sehingga betul-betul mantap, dibuktikan berfungsi, baru laksanakan larangan.
"Tindakan melarang dahulu Waze dan menambah baik TuJu kemudian hanya akan menyusahkan penjawat awam di lapangan," jelasnya dalam kenyataan.
Beliau turut mempersoalkan kenyataan kerajaan mengenai terma penggunaan Waze tertakluk kepada bidang kuasa undang-undang Israel dan ini menyukarkan rakyat Malaysia mendapat pembelaan jika berlaku isu.
Persoalannya jelas beliau, adakah isu bidang kuasa asing ini hanya tertakluk kepada Waze sahaja?
"Menteri dalam kenyataan yang sama menyebut rakyat masih boleh menggunakan aplikasi lain seperti Google Maps, sedangkan Google Maps juga tertakluk kepada bidang kuasa undang-undang asing - iaitu undang-undang negara Amerika Syarikat.
"Malah, Waze sendiri telah dimiliki oleh Google sejak 2013.
"Jika kebimbangan adalah tentang kesukaran mendapat pembelaan di mahkamah luar negara, mengapa Google Maps dibenarkan sedangkan ia juga tertakluk kepada undang-undang luar negara? Dasar ini dilihat tidak konsisten," tegasnya.
Choo Seong berkata, menteri juga menyebut rakyat Malaysia mungkin berdepan kesukaran mendapat pembelaan melalui sistem perundangan Israel jika timbul masalah.
Jelasnya, jika risiko itu benar-benar wujud kepada rakyat Malaysia, mengapa larangan hanya terpakai kepada urusan rasmi kerajaan dan perkhidmatan awam sahaja dan mengapa rakyat umum lain masih dibenarkan terdedah kepada risiko yang sama?
"Waze bukan aplikasi baru di Malaysia. Ia telah digunakan lebih 10 tahun. Jika selama ini ia berisiko, adakah ini bermakna kita telah lama terdedah kepada ancaman kuasa luar?
"Kerajaan perlu jelaskan sama ada negara Malaysia kini berdepan ancaman kedaulatan digital serius yang membuatkan tindakan diambil secara mendadak," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan MADANI:
1. Tangguhkan penguatkuasaan larangan Waze sehingga TuJu benar-benar terbukti menyeluruh, stabil dan setanding Waze, Google Maps serta aplikasi navigasi lain, bukan sekadar terhad kepada lebuh raya;
2. Jelaskan dasar yang konsisten - jika Google Maps masih dibenarkan, apa justifikasi yang membezakannya dengan Waze yang juga berfungsi di bawah ekosistem Google; dan
3. Bentangkan pelan tindakan dan garis masa penambahbaikan TuJu yang diakui kerajaan.
"Pengakuan bahawa TuJu perlu ditambah baik adalah langkah jujur yang saya hargai. Tetapi pengakuan itu juga membuktikan bahawa larangan Waze dibuat secara tergesa-gesa tanpa memberi ruang kepada pengguna memilih alternatif yang boleh dipercayai telah tersedia.
"Bangunkan dahulu aplikasi digital yang kukuh dan mampan sehingga rakyat benar-benar yakin, baru larang," katanya.

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.
Berita berkaitan

Curi kabel di siang hari di Jalan Tun Razak, polis giat buru kumpulan suspek
Oleh The Step21 November 2026 pada 04:14 PTG

Khoo Poay Tiong akui silap, mohon maaf isu premis tutup Jumaat di Kuala Terengganu


