'Media berperanan satukan rakyat, isu perpaduan jangan disalah tafsir' – Yuneswaran
"Sebenarnya isu perpaduan ini tidak ada kaitan dengan 3R, tetapi ramai yang salah tafsir." - Yuneswaran


"Sebenarnya isu perpaduan ini tidak ada kaitan dengan 3R, tetapi ramai yang salah tafsir" - Yuneswaran
MEDIA memainkan peranan penting dalam menyatupadukan rakyat Malaysia, khususnya menerusi penyampaian maklumat yang tepat bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan perpaduan dalam negara berbilang kaum dan agama.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj berkata, isu perpaduan sering disalah tafsir apabila dikaitkan secara langsung dengan isu 3R, iaitu kaum, agama dan institusi diraja, sedangkan terdapat pelbagai faktor lain yang perlu difahami secara menyeluruh.
Menurutnya, isu seperti jurang ekonomi antara kaum, masalah sosial dan jenayah tidak seharusnya dikaitkan secara umum dengan sesuatu kaum atau agama, sebaliknya perlu dilihat berdasarkan konteks dan dasar kerajaan yang berkaitan.
Beliau berkata, sepanjang hampir 11 bulan memegang jawatan itu, pihak media banyak membantu Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menyampaikan maklumat serta mesej perpaduan kepada masyarakat.
"Sebenarnya isu perpaduan ini tidak ada kaitan dengan 3R, tetapi ramai yang salah tafsir.
"Misalnya, isu jurang ekonomi antara kaum, masalah sosial dan jenayah biasanya dikaitkan dengan sesuatu kaum atau agama. Padahal, semua ini adalah isu yang berkaitan dengan dasar kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Hi-Tea Timbalan Menteri Perpaduan Negara Bersama Media di Hotel Dorsett Kuala Lumpur, pada Selasa.
Yuneswaran berkata, kementerian turut melaksanakan pelbagai program sepanjang tahun ini bagi memperkukuh perpaduan, termasuk program berkaitan Rukun Negara, pembinaan negara bangsa dan Minggu Perpaduan.
Menurutnya, pelaksanaan program berkenaan membantu meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap kepelbagaian budaya dan agama di Malaysia, selain memupuk sikap saling menghormati serta meraikan perbezaan.
Beliau berkata, kepelbagaian perayaan di negara ini, termasuk Deepavali, Krismas, Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri, merupakan antara contoh bagaimana rakyat Malaysia dapat meraikan perbezaan dalam suasana harmoni.
"Kesan daripada program-program ini, masyarakat umum semakin memahami budaya dan agama di Malaysia, saling menghormati antara satu sama lain serta meraikan perbezaan yang ada," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kementerian turut memperkenalkan kempen Yuk Bersama Membina Negara Bangsa bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam usaha membina negara yang bersatu padu.
Mengulas lanjut, Yuneswaran berkata perubahan turut dapat dilihat menerusi Indeks Perpaduan mengikut negeri, selain berpandangan bahawa masyarakat umum sebenarnya lebih bersatu berbanding gambaran yang sering timbul dalam perbincangan mengenai isu perpaduan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa komen segelintir pengguna media sosial berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat, terutama apabila melibatkan unsur fitnah dan mesej yang boleh mencetuskan perpecahan.
Justeru, katanya, pemantauan terhadap kandungan sedemikian penting bagi memastikan ruang komunikasi awam tidak disalahgunakan sehingga menggugat hubungan antara kaum dan agama.
Beliau turut menekankan kepentingan institusi pendidikan dan golongan muda dalam memperkukuh perpaduan, termasuk melalui peranan Tabika Perpaduan serta kelab Rukun Negara di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Menurutnya, pendekatan menyeluruh yang melibatkan semua lapisan masyarakat atau whole of the nation perlu diteruskan bagi memastikan usaha memupuk perpaduan dapat dilaksanakan secara berkesan dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa.
Dalam perkembangan berkaitan, Yuneswaran berkata Kementerian Perpaduan Negara akan menerajui sambutan Deepavali peringkat kebangsaan pada 14 November ini yang dijadualkan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media yang disifatkannya banyak membantu kementerian sepanjang tahun ini dalam menyampaikan mesej perpaduan kepada rakyat.
"Peranan pengamal media amat besar. Sepanjang tahun ini, hampir semua media membantu Kementerian Perpaduan Negara. Terima kasih atas sokongan yang diberikan," katanya.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

Kematian Noorizwan dalam tahanan polis: Kes diklasifikasikan Seksyen 331 Kanun Keseksaan

Baling batu, batang besi ke arah warga emas: Empat kanak-kanak Myanmar ditahan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 08:29 PTG
Lelaki Bangladesh peroleh kewarganegaraan Malaysia melalui naturalisasi – JPN
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 07:55 PTG

