The Step - Every Story Moves You

Baling batu, batang besi ke arah warga emas: Empat kanak-kanak Myanmar ditahan

Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 22 Oktober lalu, kira-kira pukul 6 petang, apabila pengadu menegur sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di taman permainan berhampiran kediamannya kerana menimbulkan bunyi bising.

TS
Oleh The StepPengarang Berita27 Oktober 2026 pada 08:29 PTG1 min bacaanDikemas kini 27 Oktober 2026 pada 08:31 PTG
IPD Seberang Perai Tengah.

IPD Seberang Perai Tengah.

POLIS menahan empat kanak-kanak lelaki warga Myanmar, berusia antara sembilan hingga 12 tahun, berhubung kejadian ugutan jenayah terhadap seorang wanita warga emas di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada wanita berusia 71 tahun itu, semalam, mengenai kejadian berkenaan yang berlaku di depan kediamannya.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 22 Oktober lalu, kira-kira pukul 6 petang, apabila pengadu menegur sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di taman permainan berhampiran kediamannya kerana menimbulkan bunyi bising.

"Walau bagaimanapun teguran tersebut tidak diendahkan.

"Pengadu mendakwa kumpulan berkenaan telah membaling batu dan melontar batang besi ke arahnya, namun objek tersebut tidak terkena pengadu.

"Perbuatan kumpulan kanak-kanak itu menyebabkan pengadu berasa takut seterusnya membuat laporan polis," jelasnya.

Nik Aminuddin berkata, susulan laporan tersebut, polis menjalankan siasatan yang membawa kepada penahanan empat kanak-kanak lelaki warga Myanmar dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Taman Sri Rambai.

Polis katanya, turut merampas beberapa barang kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian.

"Kesemua tangkapan telah dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk permohonan reman dan reman dibenarkan selama empat hari hingga 30 Oktober ini untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955," katanya.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp

Berita berkaitan

EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com