Lelaki Bangladesh peroleh kewarganegaraan Malaysia melalui naturalisasi – JPN
Bagi kes kedua melibatkan seorang individu wanita yang didakwa warga Pakistan, JPN sedang menjalankan siasatan lanjut susulan aduan yang diterima.

Isu tular mengenai pertikaian status kewarganegaraan dua individu.
INDIVIDU lelaki berasal dari Bangladesh, yang tular di media sosial susulan pertikaian kesahihan MyKad dimilikinya, telah memperoleh kewarganegaraan Malaysia melalui naturalisasi di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan pada tahun lalu.
Malah jelas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ia dilakukan secara teratur dan mengikut peruntukan undang-undang serta prosedur yang ditetapkan.
Jelas JPN, individu berkenaan merupakan suami kepada wanita warganegara Malaysia dan pemegang status Penduduk Tetap (PR) sejak tahun 2009.
"Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengambil maklum mengenai penyebaran maklumat dan dakwaan di media sosial yang mempertikaikan kesahihan MyKad serta status kewarganegaraan dua individu yang menjadi perhatian masyarakat.
"Bagi kes kedua melibatkan seorang individu wanita yang didakwa warga Pakistan, JPN sedang menjalankan siasatan lanjut susulan aduan yang diterima," jelasnya dalam kenyataan.
JPN memberitahu, penelitian sedang dilaksanakan berdasarkan rekod rasmi dan fakta berkaitan.
Katanya, perkembangan lanjut berhubung kes kedua itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
"JPN memahami keraguan dan kebimbangan masyarakat berhubung isu yang dibangkitkan.
"Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai keraguan atau menemui maklumat yang menimbulkan persoalan berkaitan status kewarganegaraan seseorang digalakkan untuk mengemukakan pertanyaan atau aduan melalui saluran rasmi JPN bagi membolehkan semakan sewajarnya dibuat, tanpa mendedahkan maklumat peribadi individu secara terbuka di media sosial.
"JPN kekal komited dalam memastikan setiap urusan pendaftaran, pengeluaran dokumen pengenalan diri dan penentuan status kewarganegaraan dilaksanakan secara teliti, berintegriti serta berlandaskan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.
Berita berkaitan

Kematian Noorizwan dalam tahanan polis: Kes diklasifikasikan Seksyen 331 Kanun Keseksaan

Baling batu, batang besi ke arah warga emas: Empat kanak-kanak Myanmar ditahan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 08:29 PTG
Kapal tangki bawa 1.16 tan ketamin: Pengarah syarikat antara dua individu ditahan


