KPDN perkukuh agenda produk tempatan, tumpu persaingan adil dalam e-dagang
KPDN komited memperkukuh kerjasama antara kementerian, agensi, pemain industri dan pengguna bagi meningkatkan pembelian produk tempatan.


KPDN komited memperkukuh kerjasama antara kementerian, agensi, pemain industri dan pengguna bagi meningkatkan pembelian produk tempatan.
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkukuh usaha memperkasa produk tempatan menerusi penyelarasan rentas kementerian dan agensi, termasuk menangani isu lambakan produk serta entiti asing dalam pasaran, khususnya platform dalam talian.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Memperkasa Pembelian dan Penggunaan Produk Tempatan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, pada Khamis.
Menerusi kenyataan di Facebook, Armizan berkata, mesyuarat turut meneliti usaha memperkukuh tadbir urus dan penyelarasan agenda produk tempatan, selain perkembangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) e-Dagang.
Menurutnya, tumpuan turut diberikan kepada usaha memastikan persaingan yang adil serta melindungi kepentingan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.
“Terma rujukan dan keanggotaan jawatankuasa turut diteliti bagi memperkukuh penyelarasan, mengelakkan pertindihan usaha serta memastikan pelaksanaan inisiatif dan tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Jawatankuasa berkenaan diluluskan Jemaah Menteri pada 17 Julai 2026 dengan KPDN bertindak sebagai urus setia bagi menyelaras usaha memperkasa produk tempatan secara menyeluruh.
Dalam perkembangan berkaitan, mesyuarat turut membincangkan penyeragaman penggunaan logo JOM MALAYSIA dalam program promosi produk tempatan bagi memperluas impaknya, dengan logo khusus bagi program kementerian masing-masing dikekalkan.
Inisiatif itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri menerusi Belanjawan 2027 yang memperuntukkan RM10 juta bagi pelaksanaan JOM MALAYSIA, bertujuan membawa produk desa dan perkhidmatan bernilai tinggi ke platform digital serta pasaran antarabangsa.
Armizan berkata, KPDN komited memperkukuh kerjasama antara kementerian, agensi, pemain industri dan pengguna bagi meningkatkan pembelian produk tempatan.
Usaha itu juga diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada usahawan negara untuk mengembangkan perniagaan serta menembusi pasaran yang lebih luas.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


