KKM beri jaminan kesan penangguhan FDS akan diminimumkan
KKM kini sedang melaksanakan audit menyeluruh dengan meneliti semula pemetaan lokasi perkhidmatan, tahap pematuhan standard syarikat pengendali serta keperluan sokongan psikososial kepada petugas.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memberi jaminan kesan penangguhan sementara operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Sarawak akan diminimumkan.
Menurut kementerian itu, ia melibatkan tujuh pasukan yang memberi liputan kepada 85 lokaliti, dengan anggaran populasi sekitar 14,830 orang penduduk di kawasan pedalaman.
"Walaupun keselamatan dan kebajikan petugas kesihatan kekal menjadi keutamaan mutlak, KKM memberi jaminan bahawa kesan penangguhan ini akan diminimumkan.
"KKM kini mengaktifkan strategi serampang dua mata bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan secara sistematik dan berfasa," jelasnya dalam kenyataan.
Jelasnya, bagi pelaksanaan perkhidmatan kesihatan alternatif, KKM sedang giat menilai semula program perkhidmatan kesihatan ke setiap lokaliti berdasarkan tahap kebolehcapaian dan keadaan setempat.
Sebagai langkah pengoptimuman katanya, KKM kini memaksimumkan penggunaan mod pengangkutan alternatif melalui jalan darat dan jalan air.
"Walau bagaimanapun, sebarang kaedah alternatif ini hanya akan dilaksanakan setelah proses penilaian risiko merangkumi keadaan laluan, tempoh perjalanan, cuaca, dan kesesuaian kenderaan didapati benar-benar selamat untuk para petugas," jelasnya.
Menurut KKM, bagi lokaliti yang berdepan kekangan akses geografi dan infrastruktur yang ketara, pihak kementerian sedang melaksanakan penyelarasan logistik yang khusus.
Ini katanya, termasuk kawasan seperti Pa Tik yang memerlukan perjalanan berjalan kaki sehingga dua hari dari Klinik Kesihatan Bario.
"Turut terjejas adalah Ba Itam, Ba Abang dan Long Tebangan yang menuntut perjalanan empat hingga 10 jam dari Klinik Kesihatan Long Bedian susulan laluan yang terputus dan keadaan jambatan runtuh.
"Bagi kawasan-kawasan berisiko tinggi ini, serta untuk keperluan Pemindahan Perubatan kecemasan (MEDEVAC), KKM akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti dimaklumkan sebelum ini," katanya.
KKM memberitahu, tempoh penangguhan operasi FDS adalah bergantung sepenuhnya kepada hasil siasatan rasmi oleh pihak berkuasa dan akan memberikan kerjasama penuh kepada agensi berkaitan bagi memastikan siasatan insiden ini dapat dilengkapkan secara menyeluruh.
Dalam pada itu, KKM menegaskan bahawa semua petugas kesihatan yang terlibat dalam pasukan FDS akan terus dilindungi berdasarkan peraturan dan polisi yang terpakai kepada penjawat awam.
"KKM kini sedang melaksanakan audit menyeluruh dengan meneliti semula pemetaan lokasi perkhidmatan, tahap pematuhan standard syarikat pengendali serta keperluan sokongan psikososial kepada petugas.
"Operasi ini hanya akan disambung semula setelah KKM berpuas hati secara mutlak bahawa keupayaan operasi dan sistem penyampaian ini benar-benar selamat," katanya.
Tentang Penulis

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.
Dari Penulis

Operasi tutup samseng jalanan: 116 saman dikeluarkan, 50 motosikal disita
Metra Syahril Mohamed · 13 September 2026 pada 09:24 PG

Tragedi helikopter di Long Lellang: Penyerahan jenazah dilaksanakan hari ini
Metra Syahril Mohamed · 13 September 2026 pada 08:42 PG

'Kau pasti masuk neraka': Usah jadi 'hakim akhirat', boleh mengundang kemurkaan Allah
Metra Syahril Mohamed · 13 September 2026 pada 07:32 PG

Penahanan seorang lagi juruterbang di Jakarta: Polis beku tujuh akaun bank
Metra Syahril Mohamed · 12 September 2026 pada 10:09 PTG
Berita berkaitan

FAM Trip buka peluang agensi pelancongan ‘jual’ Putrajaya
Deel Anjer · 14 September 2026 pada 10:02 PG

Penyu belimbing kembali ke Pantai Rantau Abang, 81 telur ditemui
Deel Anjer · 14 September 2026 pada 06:59 PG

Polis kesan lelaki sepak kanak-kanak perempuan di kedai makan
The Step · 13 September 2026 pada 04:25 PTG

Siasatan kes baja: SPRM reman Pengarah Urusan syarikat
The Step · 13 September 2026 pada 03:40 PTG

