Ketagihan skrin, tekanan kerja jejas emosi, kaunseling bukan lagi pilihan terakhir
Nancy Shukri menyampaikan sijil PERKAMA International PFA Master Trainers dan hadiah pertandingan


Nancy Shukri (dua dari kiri) menyampaikan sijil PERKAMA International PFA Master Trainers dan hadiah pertandingan
TEKANAN kerja, kehidupan yang semakin mencabar dan penggunaan teknologi tanpa kawalan antara isu yang menjadikan kesejahteraan emosi semakin penting dalam kehidupan masyarakat hari ini.
Ini sekali gus memperlihatkan keperluan terhadap perkhidmatan kaunseling yang mudah diakses dan relevan dengan perubahan zaman.
Menyedari kepentingan itu, Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (PERKAMA International) menerusi penganjuran National Counseling Month Celebration (NATCOM) 2026 mengetengahkan peranan kaunseling dalam membantu individu, keluarga dan organisasi mendepani cabaran kehidupan moden.
Berlangsung dari 8 hingga 10 Oktober lalu, NATCOM 2026 membawa tema A Decade of Service. A Future of Impact bagi meraikan satu dekad sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan, selain memperkukuh kesedaran mengenai kepentingan kesejahteraan psikologi dalam kehidupan seharian.
Antara isu yang diberi perhatian ialah kesejahteraan di tempat kerja, keseimbangan kehidupan dan pekerjaan serta hubungan yang sihat dengan teknologi, termasuk menerusi ucaptama bertajuk Screen Time to Soul Time: Crafting a Healthy Relationship with Technology oleh Profesor Emeritus Datuk Dr Mohd Tajudin Md Ninggal.
Topik berkenaan mengangkat kepentingan membina hubungan yang lebih sihat dengan teknologi ketika penggunaan skrin semakin sebati dalam rutin harian, sekali gus membuka ruang perbincangan mengenai keperluan mengimbangi kehidupan digital dengan kesejahteraan diri.
Selain itu, isu tekanan di tempat kerja turut diketengahkan menerusi ucaptama Flourishing at Work, Thriving in Life oleh YB Datuk Dr Fuziah Salleh dan Beyond Manpower: Building a Sustainable Workforce Through Work-Life Integration oleh Puan Feldatun Sharif.
Perbincangan tersebut memberi penekanan kepada kepentingan mewujudkan persekitaran kerja yang menyokong kesejahteraan pekerja, di samping melihat integrasi kehidupan dan pekerjaan sebagai sebahagian daripada usaha membina tenaga kerja yang mampan.
Dalam masa sama, NATCOM 2026 turut memperluas perbincangan kepada kerjasama serantau menerusi ASEAN Counselling Network (ASCON), yang menghimpunkan wakil pelbagai negara ASEAN untuk berkongsi pengalaman dan amalan dalam perkhidmatan kaunseling.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk perkhidmatan kaunseling rentas sempadan, sokongan psikososial dalam persekitaran yang mempunyai sumber terhad, telekaunseling serta aspek keselamatan dan kerahsiaan klien.
Perkembangan teknologi yang turut mempengaruhi penyampaian perkhidmatan kaunseling menjadikan isu akses, keselamatan dan kerahsiaan semakin penting bagi memastikan bantuan dapat diberikan secara beretika serta bersesuaian dengan keperluan individu.
NATCOM 2026 turut memberi perhatian kepada pembangunan generasi muda menerusi NYCS Summit, yang merangkumi perkongsian mengenai pembangunan kapasiti kesejahteraan golongan muda dan forum I AM A COUNSELOR.
Pengisian berkenaan membuka ruang perbincangan mengenai identiti profesional, pengalaman lapangan serta peranan kaunselor dalam membantu masyarakat menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.
Pada masa sama, pembentangan penyelidikan dan inovasi menerusi RISE serta R-COUNNOVAS menjadi platform menghubungkan perkembangan ilmu dengan keperluan sebenar pengamal kaunseling.
Program tiga hari itu turut merangkumi bengkel pembangunan profesional berterusan (CPD), selain pengiktirafan kepada kaunselor dan petugas barisan hadapan COVID-19 menerusi Malam Gala NATCOM 2026 pada 9 Oktober.
Majlis berkenaan menampilkan ucapan perasmian oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, selain pelantikan Felo PERKAMA dan penyampaian anugerah.
Sambutan tersebut berakhir pada 10 Oktober baru-baru ini dengan majlis pensijilan PERKAMA International PFA Master Trainers, penyampaian hadiah pertandingan dan ucapan penutup oleh Dr Nurashikin Ibrahim.
Menerusi penganjuran NATCOM 2026, PERKAMA International terus mengangkat kepentingan perkhidmatan kaunseling yang beretika, mudah diakses dan responsif terhadap perubahan masyarakat, sekali gus memperkukuh usaha membina komuniti yang lebih sejahtera dari sudut emosi dan psikologi.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


