Kes bunuh pegawai AKPS: ‘Jangan pandang ringan konflik rumah tangga’
Rumah sepatutnya menjadi tempat seseorang berasa paling selamat, bukannya tempat yang ditakuti.


Allahyarham Norhazwani Ibrahim
KES kematian seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Norhazwani Ibrahim, 35, yang dipercayai dibunuh suaminya di kuarters kakitangan kerajaan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Nilai, Negeri Sembilan, mengundang rasa pilu.
Menurut laporan media, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan rumah tangga dan mereka dalam proses perceraian.
Kes itu turut mendapat perhatian Public Health Malaysia (PHM) menerusi satu kenyataan di Facebook yang menyentuh kepentingan keselamatan wanita, khususnya mereka yang berdepan konflik rumah tangga dan hubungan berisiko.
Menurut perkongsian berkenaan, keluarga Allahyarham reda dengan ketentuan Allah, namun tidak pernah menyangka wanita itu pergi dalam keadaan tragis sedemikian.
Lebih memilukan, Allahyarham meninggalkan dua orang anak yang kini terpaksa meneruskan kehidupan tanpa kasih sayang seorang ibu.
PHM turut mengingatkan bahawa keputusan untuk keluar daripada hubungan yang tidak lagi bahagia, terutama apabila melibatkan ancaman terhadap keselamatan diri, bukanlah sesuatu yang mudah bagi sesetengah wanita.
Selain memikirkan keselamatan diri, mereka juga perlu mempertimbangkan kebajikan anak-anak, tempat tinggal dan usaha membina kehidupan baharu selepas perpisahan.
Sehubungan itu, masyarakat diseru supaya tidak memperkecilkan kebimbangan seseorang yang meluahkan rasa takut atau menceritakan pengalaman berdepan ancaman dalam hubungan.
Nasihat supaya terus bersabar demi mempertahankan rumah tangga juga perlu diberikan dengan mengambil kira keadaan sebenar, terutama jika terdapat petunjuk bahawa keselamatan seseorang sedang terancam.
Rumah sepatutnya menjadi tempat seseorang berasa paling selamat, bukannya tempat yang ditakuti.
Dalam masa sama, PHM berharap siasatan terhadap kes berkenaan dijalankan dengan teliti agar keadilan dapat ditegakkan.
Tumpuan turut diberikan kepada dua anak Allahyarham yang memerlukan kasih sayang, perlindungan dan sokongan emosi bagi menghadapi kehilangan besar dalam kehidupan mereka.
Tragedi itu juga menjadi peringatan bahawa konflik rumah tangga tidak seharusnya dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan ancaman terhadap keselamatan.
Individu yang berasa terancam perlu diberikan ruang untuk bersuara dan mendapatkan bantuan tanpa dipersalahkan atau dipaksa membuat keputusan tanpa mengambil kira keselamatan diri.
Semoga tragedi ini menjadi peringatan kepada masyarakat tentang pentingnya mengambil serius tanda-tanda keganasan dalam hubungan serta memastikan mereka yang terancam tidak berdepan situasi itu bersendirian.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


