Kes bunuh pegawai AKPS: ‘Gagal kawal emosi bukan alasan bertindak ganas’ - Pakar terapi emosi
“Tekanan hidup dan perselisihan dalam rumah tangga perlu ditangani dengan kewarasan, bukannya melalui tindakan yang boleh mencederakan atau mengancam keselamatan orang lain." - Dr Hisham Dzakiria


'Kegagalan mengurus kemarahan atau kekecewaan tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan keganasan terhadap pasangan' - Dr Hisham Dzakiria
TRAGEDI demi tragedi berlaku dalam masyarakat.
Terbaru, kematian seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Norhazwani Ibrahim, 35, yang dipercayai dibunuh suaminya di kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Nilai, Negeri Sembilan.
Kejadian yang dilaporkan pada Khamis (15 Oktober 2026) sekali lagi mengundang kesedihan serta kebimbangan masyarakat, khususnya apabila keganasan berlaku dalam hubungan yang sepatutnya menjadi tempat seseorang mendapatkan perlindungan dan ketenangan.
Menurut laporan media, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan rumah tangga.
Pakar terapi emosi, Dr Hisham Dzakiria, berkata insiden seumpama itu seharusnya menjadi peringatan kepada masyarakat tentang pentingnya kematangan berfikir, pertimbangan yang rasional serta keupayaan mengawal emosi ketika berhadapan konflik kehidupan.
“Tekanan hidup dan perselisihan dalam rumah tangga perlu ditangani dengan kewarasan, bukannya melalui tindakan yang boleh mencederakan atau mengancam keselamatan orang lain.
“Kesihatan mental bukan isu yang boleh dipandang ringan, apatah lagi apabila seseorang berdepan tekanan berpanjangan tetapi memilih untuk memendam perasaan tanpa mendapatkan bantuan.
“Dalam kehidupan berpasangan, perbezaan pendapat, masalah kewangan, tanggungjawab keluarga dan konflik komunikasi boleh menjadi cabaran yang menguji kestabilan emosi.
“Namun, kegagalan mengurus kemarahan atau kekecewaan tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan keganasan terhadap pasangan,” katanya.
Justeru, masyarakat perlu memahami bahawa mendapatkan bantuan bukan tanda kelemahan, sebaliknya satu langkah bertanggungjawab untuk menangani tekanan sebelum keadaan menjadi lebih buruk.
Pada masa sama, keluarga dan orang terdekat juga perlu lebih peka terhadap perubahan tingkah laku, tekanan emosi serta tanda-tanda hubungan yang tidak lagi selamat.
“Sokongan sewajarnya perlu diberikan kepada individu yang memerlukan bantuan, termasuk membantu mereka mendapatkan khidmat profesional atau perlindungan sekiranya berhadapan ancaman keganasan rumah tangga.
“Bagi saya, usaha meningkatkan kesedaran kesihatan mental tidak seharusnya terhenti pada kempen atau perbincangan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan, akses kepada bantuan dan kesediaan masyarakat untuk mendengar tanpa menghukum.
“Mencegah lebih baik daripada merawat. Menyelamatkan emosi hari ini mungkin menyelamatkan nyawa esok,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kesihatan mental dan keselamatan diri perlu diberikan perhatian secara seimbang kerana tidak semua konflik boleh diselesaikan melalui kesabaran atau perbincangan semata-mata.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam semalam, mangsa dikatakan dibunuh suaminya ketika berada di rumah mereka di kediaman kakitangan kerajaan berkenaan.
Suspek yang juga berusia 30-an kemudian ditahan selepas dikatakan menyerah diri di balai polis, selain dipercaya turut menghubungi keluarga mangsa sejurus kejadian.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


