EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com
Nasional

Kerajaan perluas tahap perlindungan subsidi elektrik dari 600 kWj kepada 800 kWj

Langkah tersebut jelasnya, diambil sebagai tindakan segera bagi menangani tekanan hidup rakyat saat ini.

Metra Syahril Mohamed17 September 2026 pada 09:11 PTGDikemas kini 17 September 2026 pada 09:14 PTG
Anwar Ibrahim bersama Fadillah Yusof dan Amir Hamzah Azizan dalam mesyuarat khas berkaitan kos elektrik. - Facebook Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim bersama Fadillah Yusof dan Amir Hamzah Azizan dalam mesyuarat khas berkaitan kos elektrik.Facebook Anwar Ibrahim

KERAJAAN memutuskan untuk menambah baik subsidi bil elektrik untuk rakyat dengan memperluas tahap perlindungan daripada 600 kWj kepada 800 kWj sebulan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik mulai September hingga 31 Disember tahun ini.

Langkah tersebut jelasnya, diambil sebagai tindakan segera bagi menangani tekanan hidup rakyat saat ini.

"Melalui langkah ini, pengguna domestik yang menggunakan elektrik sehingga 800 kWj sebulan akan diberikan perlindungan melibatkan pengecualian Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Sales & Service Tax)," jelasnya.

Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat berkaitan kos elektrik.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat berkaitan kos elektrik bersama wakil Suruhanjaya Tenaga (ST), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air serta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau kemudiannya merakamkan penghargaan khususnya kepada pihak TNB, PETRA dan Suruhanjaya Tenaga atas peranan mereka dalam memungkinkan langkah tersebut diambil dalam kadar segera.

"Keadaan jerebu serta cuaca yang lebih panas mutakhir ini telah mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah, menyebabkan penggunaan bulanan mereka melepasi paras 600 kWj dan menyebabkan kenaikan bil yang luar biasa.

"Justeru Kerajaan MADANI akan terus memantau rapi perkembangan kos bahan api dan keadaan pasaran tenaga semasa bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan tarif elektrik mengambil kira keseimbangan antara kemampuan dan beban hidup rakyat, keterjaminan bekalan elektrik dan kemampanan sektor tenaga negara," katanya.

Tentang Penulis

Foto profil Metra Syahril Mohamed
Metra Syahril Mohamed

Penulis

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.

Berita berkaitan