EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com
Nasional

Kerajaan adakan mesyuarat khas, teliti langkah kurangkan kesan kenaikan bil elektrik

Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap langkah penyasaran subsidi dilaksanakan secara adil dan munasabah, dengan kepentingan serta kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Metra Syahril Mohamed16 September 2026 pada 03:18 PTGDikemas kini 16 September 2026 pada 03:20 PTG
Anwar Ibrahim menegaskan bahawa ikhtiar penyasaran subsidi terus dipertahankan bagi melindungi majoriti rakyat.

Anwar Ibrahim menegaskan bahawa ikhtiar penyasaran subsidi terus dipertahankan bagi melindungi majoriti rakyat.Facebook Anwar Ibrahim

KERAJAAN MADANI akan mengadakan mesyuarat khas, esok, bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi meneliti langkah mitigasi segera untuk mengurangkan kesan kenaikan bil elektrik terhadap isi rumah terlibat.

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mesyuarat itu nanti turut melibatkan Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Kewangan (MoF).

Menurut beliau, Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap langkah penyasaran subsidi dilaksanakan secara adil dan munasabah, dengan kepentingan serta kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

"Sekembali dari India dan Maldives, perhatian saya terus tertumpu kepada keresahan rakyat terkait kenaikan bil elektrik sejak kebelakangan ini.

"Saya mendengar keluhan yang disuarakan dan perkara ini perlu diberi perhatian serta ditangani segera," jelasnya dalam kenyataan.

Beliau memberitahu, kerajaan menegaskan bahawa ikhtiar penyasaran subsidi terus dipertahankan bagi melindungi majoriti rakyat.

Katanya, sekitar 80 peratus pengguna domestik yang menggunakan elektrik tidak melebihi 600 kilowatt-jam (kWj) sebulan kekal dilindungi dan tidak terkesan dengan kenaikan kadar susulan peningkatan kos bahan api tahun ini.

"Namun, keadaan jerebu serta cuaca yang lebih panas sejak kebelakangan ini telah mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah.

"Ia menyebabkan penggunaan bulanan mereka melepasi paras 600 kWj dan sekali gus tertakluk kepada Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA)," katanya.

Terdahulu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang serius peningkatan mendadak aduan daripada orang awam berhubung bil elektrik yang melambung tinggi secara luar biasa sejak kebelakangan ini.

Menurut persatuan itu, beban kewangan ini berlaku dalam keadaan kos sara hidup yang semakin menghimpit dan meresahkan rakyat.

Tentang Penulis

Foto profil Metra Syahril Mohamed
Metra Syahril Mohamed

Penulis

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.

Berita berkaitan