‘Kelat tak ceria seperti dulu’
“Badan susut, muka pun dah tak seceria dulu. Entah apa yang ditanggungnya dalam diam"


Kondisi seekor gajah bernama Kelat yang dikatakan semakin susut badannya dan tidak lagi menunjukkan keceriaan seperti dahulu
KONDISI seekor gajah bernama Kelat yang dikatakan semakin susut badannya dan tidak lagi menunjukkan keceriaan seperti dahulu.
Itulah yang mengundang kebimbangan pencinta haiwan, Eina Ismail, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kebajikan tiga gajah Malaysia yang dihantar ke Zoo Tenojji, Jepun.
Menerusi perkongsian di Threads, Eina meluahkan kebimbangannya terhadap keadaan Kelat yang dilihat berbeza berbanding sebelum ini, selain mempersoalkan sama ada kehidupan yang dilalui haiwan berkenaan benar-benar memenuhi keperluan semula jadinya.
“Antara depa (mereka) bertiga (Dara, Amoi dan Kelat) ni, Kelat yang paling buat kita risau.
“Badan susut, muka pun dah tak seceria dulu. Entah apa yang ditanggungnya dalam diam,” luahnya.
Menurut Eina, keadaan itu membuatkan dirinya tertanya-tanya apakah yang mungkin dirasai Kelat sekiranya haiwan berkenaan mampu meluahkan perasaan seperti manusia.
“Kalau Kelat boleh bercakap, agaknya panjang dah luahan dia, kan?” tulisnya lagi.
Luahan itu turut menyentuh tentang naluri semula jadi gajah yang memerlukan ruang mencukupi untuk bergerak, berinteraksi dan menjalani kehidupan mengikut keperluan spesiesnya.
Eina mempersoalkan sama ada persekitaran yang terhad mampu memberikan kehidupan sewajarnya kepada haiwan berkenaan, terutama apabila kebebasan dan ruang untuk bergerak menjadi antara aspek penting dalam kebajikan gajah.
“Kelat pun ada naluri semula jadi. Tapi inikah kehidupan yang sepatutnya untuk mereka?
“Gajah perlu ruang dan kebebasan untuk hidup secara semula jadi, bukan terkurung di zoo konkrit!” tegasnya.
Perkongsian itu membangkitkan persoalan lebih besar mengenai kebajikan Dara, Amoi dan Kelat, tiga gajah Malaysia yang dihantar ke Jepun, khususnya berkaitan keadaan fizikal, persekitaran tempat tinggal serta peluang untuk mereka menjalani kehidupan yang memenuhi keperluan semula jadi.
Bagi pencinta haiwan, kebajikan gajah bukan sekadar memastikan haiwan itu mendapat makanan dan tempat perlindungan, sebaliknya turut mengambil kira keperluan fizikal, tingkah laku semula jadi serta persekitaran yang sesuai untuk kehidupan mereka.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


